TAK Penting Bagi Saya, Tapi Staf Mungkin Dapat Bonus - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/1/20241 min read


MARC Marquez menamatkan kempen MotoGP 2024 di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Francesco Bagnaia dan juara dunia, Jorge Martin yang kedua-duanya menunggang jentera Ducati GP24.
Beraksi bersama Ducati GP23 bersama pasukan satelit Gresini Ducati, juara dunia lapan kali yang baru menyertai pasukan itu di awal musim memperoleh semula nikmat bergelar pemenang perlumbaan.
Mengakui gelaran juara keseluruhan bukan sasaran utamanya, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut menjelaskan kedudukan ketiga keseluruhan juga bukan sesuatu yang disasarkan olehnya.
Tetapi ada perkara yang membuatkannya mengubah pandangannya sekaligus menyaksikannya menamatkan perlumbaan terakhir kempen musim ini di Barcelona, Sepanyol sebagai naib juara.
"Tempat ketiga kejuaraan, bagi saya ia tidak mengubah hidup saya, tetapi untuk pasukan satelit, saya bertanya kepada mereka, kepada (Michele) Masini (Pengurus pasukan Gresini Ducati), 'Untuk pasukan satelit, adalah penting untuk menamatkan kempen di tempat ketiga?'
"Dia berkata kepada saya 'Mungkin kami akan mendapat bonus', jadi saya kata, 'Ok, saya faham'.
"Kemudian saya cuba sebagik yang mungkin untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan podium."
Marquez dalam pada itu berterima kasih kepada Gresini yang memberikannya ruang untuk berlumba bersama jentera terbaik di grid dan meraih podium pada perlumbaan terakhir adalah ucapan terima kasih terbaik kepada mereka.
"Mereka menjadi pasukan yang amat penting dalam karier saya, kerana saya tiba dalam keadaan yang teruk, dan amat penting pergerakan yang saya buat tahun lalu," kata Marquez.
"Terima kasih kepada Honda, kerana faham situasi saya, terima kasih kepada Gresini kerana memberikan saya peluang dan saya bekerja keras sepanjang musim ini.
"Saya menjumpai kumpulan individu yang amat baik yang membantu saya untuk bangkit, membina semula keyakinan, dan cara terbaik untuk mengucapkan terima kasih adalah podium."
