'TAK Percaya Mampu Hatrik Di Cremona'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/5/20251 min read

PELUMBA Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega mengakui sukar untuk mempercayai dia mampu merakam kejayaan hatrik WorldSBK di Cremona, Itali.

Pelumba Itali itu tampil dengan dominasi penuh apabila merangkul petak utama sebelum menjuarai ketiga-tiga perlumbaan dan menambah jurang di puncak carta WorldSBK kepada 34 mata di depan Toprak Razgatlioglu.

Lebih mengujakan, keputusan cemerlang itu diperoleh mengikuti dua keputusan DNF (tidak tamatkan perlumbaan) pada pusingan sebelum ini di Assen, Belanda.

Sebelum perlumbaan, bekas juara dunia WorldSSP itu berulang kali menyatakan Cremona bukan litar yang sesuai dengan gaya tunggangannya sekali pun berjaya memperoleh dua kedudukan podium pada tahun lalu.

"Jika seseorang memberitahu saya beberapa hari lalu yang saya akan menang tiga perlumbaan di Cremona, saya tidak akan mempercayai mereka," kata Bulega.

"Ia menakjubkan untuk mendapat hatrik pada litar paling saya teruk. Ia sesuatu yang tidak berada dalam fikiran saya.

"Terima kasih kepada peminat-peminat Itali yang datang ke sini untuk menyokong kami, termasuk semua peminat Ducati. Bagus untuk menang di sini di Itali.

"Sebelum permulaan musim, saya berfikir, 'Saya tidak mahu pergi ke Cremona', dan kini saya menyukai litar ini. Ia menakjubkan. Saya akan cuba melakukan perkara yang sama setiap kali saya datang ke sini."

Selepas empat pusingan dan 12 perlumbaan, Bulega sudah memenangi tujuh perlumbaan dan mengisi tangga teratas carta dengan 198 mata.