TAK Perlu Tunggu Lama, Honda NX500 (2024) Dah Sampai Thailand, RM 30.2k!

TERKINI

12/6/20231 min read

SATU lagi model terbaharu yang didedahkan Honda ketika EICMA 2023 memasuki pasaran Asia Tenggara menerusi pengenalan Honda NX500 (2024) di Thailand, baru-baru ini.

Seperti 'tugasnya' di peringkat global, Honda NX500 (2024) yang diposisikan dalam segmen 'Adventure touring' adalah model yang akan menggantikan Honda CB500X di negara berkenaan.

Membuat kemunculan di Pameran Motor Antarabangsa Thailand 2023, harga pengenalan untuk motosikal yang dijangka akan 'terkenal' ini adalah bermula 227,900 Baht (RM 30,209).

Tiba sebagai pengganti kepada model yang sememangnya popular, Honda NX500 (2024) dengan nama 'NX' diambil daripada perkataan 'New X-over' datang dengan pelbagai pembaharuan termasuk rekaan serba baharu yang tampak moden.

Kekal dengan gaya 'Garang' sebuah jentera 'ADV touring', rekaannya terutama 'fairing' jelas mendapat inspirasi daripada Honda Transalp baharu.

Selain dari sudut 'penampilan', ia dipadankan dengan sistem suspensi, rim lebih ringan yang dikatakan ditambah baik daripada moden Honda CB500X selain memiliki Kawalan Traksi yang boleh dinyahaktif.

Mengulas trenkuasa, Honda NX500 (2024) kekal dengan enjin bersesaran 471 cc, 2 Silinder Parallel-Twin yang sama digunakan Honda CB500X namun mendapat sedikit kemas kini yang menjadikannya pergerakan enjinnya lebih lancar.

Sistem transmisi adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Assist & Slipper'.

Kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 46.9 Hp pada 8,600 rpm dan tork 43.11 Nm pada 6,500 rpm.

Turut dikemaskini adalah sistem suntikan bahan api bagi meningkatkan pecutan ketika 'low rpm' selain hamburan kuasa keseluruhan Honda NX500 (2024).

Suspensi yang digunakan adalah fork jenis terbaik (USD) dari jenama Showa 41 mm 'Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP)' dan penyerap hentak tunggal (belakang) lengkap dengan ciri pelarasan (preload, Spring rate & damping).

Sistem brek pula menggunakan cakera kembar bersaiz 296 mm dengan kaliper 2 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston di belakang.

Di bahagian roda, Honda NX500 (2024) turut dipadankan dengan rim 'Sport' 5 'spoke' berbanding '7 'spoke' seperti digunakan Honda CB500X dan ia 1.5 kg lebih ringan.

Di bahagian panel meter, ia kini menggunakan panel TFT berwarna 5 inci lengkap dengan sistem sambungan ke telefon pintar dan menariknya memiliki ciri navigasi.