TAK Pernah Hadapi Sebelum Ini - Enea Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20241 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Enea Bastianini menjelaskan dia bermati-matian untuk memastikan Marc Marquez dapat dikalahkan bagi perebutan tempat kedua di Perlumbaan Sprint GP Jepun 2024, semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ke-4, Bastianini memperoleh permulaan yang baik apabila mengisi tempat kedua seawal selekoh pertama namun dicantas semula pelumba GasGas Tech3, Pedro Acosta.

Selepas Acosta terjatuh, Bastinini mendapati dirinya berdepan cabaran besar untuk mendapat tempat kedua menerusi kehadiran Marquez.

Juara dunia lapan kali itu dan The Beast saling bertukar posisi di beberapa selekoh termasuk 10 dan 11 pada pusingan terakhir sebelum Marquez tampak seperti mengendurkan semula tekanan.

Pada akhirnya, Bastianini hanya dibezakan 0.181 saat ketika melintasi garisan penamat di belakang pemenang, Francesco Bagnaia.

"Pertarungan yang bagus," kata Bastianini kepada TNT Sport. "Saya tidak yakin untuk memperoleh perlumbaan yang hebat seperti saya lakukan hari ini (semalam).

"Apapun, ia meningkatkan kadar kelajuan saya kerana ketika ujian masa saya bagus tetapi kadar kelajuan saya agak biasa.

"Jadi pada akhirnya pertarungan ini tiba pada dua pusingan terakhir bersama Marc. Saya melakukan kesilapan kecil pada selekoh sembilan dan Marc masuk.

"Kami amat dekat pada selekoh 11, dia melepaskan brek sedikit, saya juga sama. Dan pada tempoh lain juga. Tetapi pad akhirnya saya berada di laluan lebih baik dan saya memberi tekanan seperti saya tidak pernah lakukan seperti sebelum ini dan memenangi pertarungan itu. Tempat kedua adalah bagus."

Tempat kedua turut memastikan Bastianini mengekalkan kedudukan ketiga dalam carta kejuaraan dunia dengan kelebihan lima mata di depan Marquez.