TAK Puas Hati Aksi Di Austria, Hakim Danish Idam Kebangkitan Di Aragon
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/29/20241 min read


SELEPAS hanya membawa pulang empat mata kejuaraan daripada Red Bull Ring pada Pusingan 5 perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024, ada sesuatu yang mahu dibuktikan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada aksi di Aragon, Sepanyol, minggu ini.
Tampak bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan Perlumbaan 1 di Austria di kedudukan ke-14 dan angka sama diulang pada Perlumbaan 2.
Keputusan itu turut menyaksikan kedudukannya dalam carta pelumba jatuh ke tempat ke-7 dengan mengumpul 87 mata, ketinggalan 90 mata di belakang pendahulu, Alvaro Carpe.
Seperti diketahui, Hakim Danish tidak pulang ke Malaysia selepas aksi di Austria bagi mengharungi persiapan lebih baik untuk menghadapi Pusingan 6 yang dijadual berlangsung di Aragon.
Di Sepanyol, pelumba berusia 17 tahun itu menjalani sesi latihan ketat bersama jurulatih, Jurulatih Sergio Mora daripada Rider Formation bagi memastikan tahap kecergasannya berada di tahap maksimum bagi menghadapi perlumbaan.
"Pada minggu ini saya harap dapat buat yang terbaik dan memperbaiki keputusan perlumbaan yang lebih bagus dari pusingan ke 5," kata Hakim Danish.
"Saya tidak berpuas hati dengan keputusan perlumbaan pada perlumbaan yang lepas.
"Selepas selesai pusingan 5, saya kembali ke Sepanyol untuk melalui sesi latihan yang kerap bersama-sama Valentine Perrone dan beberapa pelumba yang lain.
"Sasaran pada pusingan ini ialah saya akan cuba memberi tentangan hebat kepada kumpulan hadapan untuk merebut podium dan keputusan yang bagus. Saya harap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya".
Sebagai info, keputusan di Red Bull Ring adalah yang terburuk diraih Hakim Danish dalam kempen RBMRC pada musim 2024.
Dia sebelum ini berjaya menamatkan Perlumbaan 1 pada aksi pembukaan di kedudukan podium (tempat kedua) di Jerez dan tempat ketiga di Le Mans, Perancis sebelum prestasinya menurun.
Seperti di Red Bull Ring, Litar Aragon yang sepanjang 5.344 km pastinya memberi cabaran buat Hakim Danish kerana ia turut mempunyai laluan lurus sepanjang 1.211 km.
