'TAK Rancang Sekatan Tapi Sila Hormati Undang-Undang, Peraturan, Ikut Arahan'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/24/20241 min read

SECARA keseluruhan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan lebih daripada 500 anggota dan pegawainya bagi kelancaran edisi ke-25 Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia 2024, minggu depan.

Ketika sidang media Taklimat Aliran Trafik dan Keselamatan sempena GP Malaysia 2024, hari ini, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at menegaskan agar mereka yang hadir menyaksikan perlumbaan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Menurut Azman, sekalipun pihaknya tidak merancang sebarang sekatan atau operasi khas, pihaknya akan bertindak tegas jika mereka mengesan terdapat pelanggaran undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil.

"Saya tidak mahu berkata yang kami tidak akan mengadakan sekatan atau sebagainya kerana undang-undang tetap perlu dipatuhi. Jadi kami berharap mereka yang hadir, terutama konvoi agar mematuhi peraturan dan ditetapkan dan mengikuti arahan yang diberikan oleh anggota bertugas," katanya.

"Untuk kawalan trafik, saya ingin menasihatkan agar patuh kepada segala arahan pegawai polis trafik yang bertugas dan mengikuti papan tanda yang diletakkan.

"Tiada ada penutupan jalan sepanjang jalan masuk atau keluar ke SIC atau ke KLIA namun akan ada pengubahsuaian perjalanan perjalanan mengikut keadaan bagi memastikan kelancaran trafik."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif memaklumkan pihaknya seperti tahun-tahun sebelum ini terus menyediakan pengangkutan awam sama ada menggunakan bas dari KLCC dan Pasar Seni dan mereka boleh menggunakan perkhidmatan keretapi ke KLIA 2.

Daripada KLIA 2, sejumlah 18 bas disediakan oleh SIC untuk kemudahan ke SIC PETRONAS.

Secara keseluruhan, SIC mempunyai 15,000 petak parkir dan sekali lagi untuk tahun ini, tiada bayaran parkir dikenakan kepada pengunjung.