TAK Realistik Honda Naik Podium Ketika Ini - Johann Zarco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/3/20241 min read

PELUMBA LCR Honda, Johann Zarco mendedahkan ketika memilih Honda sebagai destinasinya di MotoGP selepas Ducati musim lalu, kedudukan 10 terbaik perlumbaan dirasakan mampu dicapai pengeluar itu.

Tetapi selepas lapan pusingan berlangsung musim ini, pelumba kelahiran Perancis itu berterusan bergelut dengan keputusan terbaiknya adalah di tangga ke-12 pada aksi pembukaan di Qatar.

Pelumba berusia 33 tahun itu sekali lagi bergelar pelumba terbaik Honda di Grand Prix Belanda, minggu lalu namun terpaksa menerima hakikat pahit melepasi garisan penamat di kedudukan ke-13 dan 42 saat di belakang pemenang, Pecco Bagnaia.

Sekalipun mengakui Honda terus menunjukkan peningkatan dan kedudukan 10 terbaik mungkin mampu dicapai sebelum musim ini menutup tirainya, bekas pelumba KTM itu akur tempat di podium sebagai tak realistik.

"Apabila saya menandatangani kontrak dengan pasukan LCR Honda, saya fikir untuk menamatkan perlumbaan di kelompok 10 terbaik boleh dilakukan, tetapi saya silap," kata Zarco memetik laporan GPOne.

"Ketika ini, kami berlumba tanpa sebarang sasaran, tetapi hanya untuk melakukan eksperimen. Mungkin bermula sekarang sehingga penghujung musim, kedudukan 10 terbaik akan dapat dilakukan.

"Dan jika pada 2025 kami menamatkannya untuk bersaing merebut kemenangan, ia akan menjadi sesuatu yang amat mengejutkan," katanya.

Menjelaskan makin selesa dengan jentera Honda RC213V, Zarco mengakui jurang di antara Honda dengan pengeluar di depan cukup jauh, termasuk dengan satu lagi pengeluar Jepun Yamaha.

"Sekalipun memperoleh mata di Belanda, masih ada banyak kerja perlu dibuat. Kami masih dalam fasa untuk mencari pelarasan sempurna, di mana kami perlu mengikut orang lain.

"Jika kami membuat perbandingan dengan (Fabio) Quartararo (Yamaha), kami masih agak jauh berbanding prestasinya, dan dia sama seperti pelumba di depan. Dan kami seperti berada dalam perlumbaan kami sendiri.

"Jika kemudian kita lihat kepada Pecco, apa yang ada di depan menjadi lebih jelas. Kedua-dua kami, sebagai pelumba dan juga jenama tidak boleh menerima situasi ini, jadi kami perlu mencari jalan penyelesaian."

Zarco ketika ini menghuni tangga ke-19 carta pelumba dengan pelumba terbaik pengeluar Jepun itu adalah pelumba pasukan 'kilang' Repsol Honda, Joan Mir di kedudukan ke-18.