TAK Realistik Letak Sasaran Sekarang - Enea Bastianini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/20/20251 min read


PELUMBA Tech3 KTM, Enea Bastianini mengakui adalah terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran untuknya bagi kempen MotoGP musim 2025.
Menurut bekas pelumba Ducati Lenovo itu, adalah tidak realistik jika sasaran diletakkan kerana dia baru berpeluang menguji jentera itu selama sehari pada November lalu.
"Meletakkan sasaran ketika ini tidak realistik," kata Bastianini memetik laporan Sky Sports Itali.
"Saya baru saja melakukan 50 pusingan bersama KTM, jadi tidak mudah untuk berfikir mengenai apa sasaran yang boleh diletakkan.
"Saya fikir jentera ini mempunyai potensi, tetapi saya mungkin tidak dapat mengekploitasinya 100 peratus sejak perlumbaan pertama.
"Tetapi saya yakin selepas perlumbaan demi perlumbaan kami akan mencapainya."
Dalam pada itu, Bastianini mengakui dia mengharungi musim sejuk yang 'sukar' berikutan kemelut yang melanda KTM tetapi mendedahkan semuanya sudah semakin 'stabil'.
KTM sudah mengesahkan program MotoGP pengeluar Austria itu kekal bagi musim 2025 tetapi ia tidak termasuk pada musim 2026 dan seterusnya.
"Ia menjadi musim sejuk yang sukar, tetapi saya sudah berlatih dan cuba untuk berfikiran positif," kata Bastianini.
"Saya cuba untuk melakukan yang terbaik saya setiap hari, untuk cuba dan bersedia untuk kejuaraan. Kini perkara menjadi agak stabil sedikit, jadi sudah tentu ada lebih sedikit ketenangan.
"Tetapi saya akan memberikan 100 peratus dan kamu tidak akan melihat saya tidak bersedia," kata Bastinini yang turut menyertai perlumbaan '100Km of Champions' anjuran Valentino Rossi di Tavullia, Itali minggu lalu.
