TAK Realistik Rasa Boleh Menang Di Mugello - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/10/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia berjaya bangkit daripada kekecewaan di Perlumbaan Sprint dan berdiri di podium perlumbaan Grand Prix di Aragon di belakang adik beradik, Marc dan Alex Marquez pada Ahad.
Kembali ke litar sama pada Isnin bagi sesi ujian rasmi MotoGP, juara dunia tiga kali itu menguji beberapa komponen baharu termasuk sistem brek dan menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik.
"Ya, saya fikir ia adalah ujian paling positif saya peroleh pada musim ini," kata Bagnaia yang melakukan catatan ke-9 terpantas, ketinggalan 0.697 saat di belakang pelumba terpantas, Maverick Vinales dan Tech3 KTM.
Pada ujian kali ini, Bagnaia mengesahkan dia menggunakan cakera lebih besar 355 mm berbanding perlumbaan 340 mm.
"Saya gembira dapat menguji beberapa komponen, sebagai contoh di Jerez di mana mustahil untuk saya memahami apa saja jadi saya amat gembira," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net.
Ketika diminta mengulas mengenai perbezaan brek itu, Bagnaia berkata: "Pada Sabtu dengan brek 340 mm, saya melakukan brek dan tidak dapat mengawalnya dengan cepat sejurus saya melepaskannya.
"Jadi saya memerlukan segala kekuatan saya untuk menghentikan jentera dan sukar untuk menguruskan dan mengawal tayar depan. Saya masuk (selekoh), terkunci (brek) dan tiada cengkaman yang cukup dan ia amat sukar bagi saya.
Di sebalik kemajuan yang diperoleh, Bagnaia memberi amaran dia memerlukan sesuatu yang lebih jika mahu mencabar pendahulu kejuaraan, Marc.
"Kami perlu realistik dan perasaan saya sekarang adalah bukan untuk bertarung merebut kemenangan," katanya mengulas aksi di gelanggang sendiri, Mugello.
"Kita mempunyai Marc dan dia jauh lebih yakin dengan jentera, jadi sukar untuk berfikir 'Ah, kini kami pergi ke Mugello, litar saya dan kami menang. Ketika ini kami perlu berpijak di bumi nyata dan terus bekerja.
"Saya perlu bermula dengan keyakinan ini dan mungkin terus memanfaatkannya tetapi saya tidak mahu berkata saya akan tiba du Mugello dan bertarung merebut kemenangan. Ia tidak realistik ketika ini.
"Tetapi ia adalah GP laman sendiri. Saya akan mencuba segala yang saya ada untuk mendapatkan keputusan sebaik mungkin. Saya gembira, dua perlumbaan selepas ini amat bagus untuk saya.
"Saya fikir saya boleh terus membuat kemajuan dan penting untuk mengekalkannya dengan cara yang tenang."
