TAK Sabar Nak Tunggu FP1 GP Malaysia - Hakim Danish

Selain persiapan dari sudut fizikal dan mental, Hakim Danish turut berpeluang menguji jentera yang bakal digunakan - KTM - spesifikasi terkini pada minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama dua hari

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/21/20251 min read

PELUMBA wildcard Moto3 negara, Hakim Danish Ramli sudah mengharungi persiapan secukupnya bagi menghadapi Grand Prix (GP) Malaysia 2025 yang menjadi penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Selain persiapan dari sudut fizikal dan mental, pelumba berusia 18 tahun itu turut berpeluang menguji jentera yang bakal digunakan - KTM - spesifikasi terkini pada minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama dua hari.

Mengakui ia jentera yang berbeza berbanding yang digunakan di pentas JrGP mahupun RBMRC, Hakim Danish mendedahkan dia berpeluang melalukan hampir 100 pusingan bersama jentera berkenaan untuk mencari pelarasan terbaik dan keserasian.

Sebagai rekod, pelumba kelahiran Terengganu itu akan beraksi bersama AEON Credit SIC Racing MSI.

“Walaupun masih jentera KTM, ia sangat berbeza daripada jentera RBMRC dan JuniorGP. Saya ambil masa untuk sesuaikan diri, dan ujian ini sangat membantu,” kata Hakim yang antara catatan kejayaannya adalah menjuarai Asia Talent Cup 2022 dan tempat ketiga keseluruhan RBMRC musim ini.

"Jentera ini jauh lebih agresif dan responsif, terutama ketika masuk dan keluar selekoh. Ujian di SIC bukan sekadar pelarasan teknikal, tetapi juga proses adaptasi mental dan fizikal menjelang aksi sebenar. Jadi saya tidak sabar untuk menantikan sesi Latihan 1 (FP1)."

Hakim Danish dalam pada itu berharap rakyat Malaysia untuk turun ke SIC hujung minggu ini dan memberi sokongan kepada pelumba negara.

“Saya harap rakyat Malaysia dapat datang beri sokongan," katanya.