TAK Sampai Seminggu 'Keluar', Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) 'Second' Dah Diiklan Untuk Dijual, Harga 'Tepuk Dahi'!

TULAR

9/21/20231 min read

GEMPAK yang dicetuskan oleh motosikal bernada 'Syahdu' 4 Silinder Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) yang baru saja dilancarkan di pasaran tempatan nampaknya belum lagi reda.

Tak cukup dengan drama 'pelekat' original, timbul pula drama baharu apabila sudah ada motosikal berkenaan diiklan untuk dijual.

Diiklankan di laman web jual beli terkemuka Mudah.my, penjual dari Johor itu begitupun nampaknya masih belum bersedia untuk 'membuang' nama Kawasaki dalam kapsyennnya.

Dan lebih 'menakutkan', harga jualan yang diletakkan kepada motosikal dengan pilihan warna Lime Green/Ebony itu memang cukup tinggi, sekalipun penjual itu menyatakan ia harga yang amat berbaloi.

Tidak seperti harga yang diumumkan oleh Emos iaitu pengedar rasmi dan eksklusif Kawasaki Malaysia RM 33,900 (asas), penjual mengiklankan motosikal berkenaan pada harga RM 20k lebih mahal iaitu RM 53,900.

"Sebuah modenas x kawasaki ninja untuk dilepaskan dengan teramat berat hati. Harga dipinta amat berbaloi. 'No issue all the best.' 'Quickshifter work fine auto blippers is fun. Fun to ride like Ducati 1st gear all the way.' ", tulis penjual.

Selain itu, penjual turut meletakkan beberapa syarat antaranya adalah tiada tunggang uji dan hanya pembelian secara tunai. Dan seperti biasa, tindakan penjual itu kemudian tular di media sosial dan disertai dengan pelbagai sindiran dan kecaman.

Sebelum ini, pihak Emos melancarkan 100 unit pertama Modenas ZX-25R SE (2023) dalam satu majlis di ibu negara. Dan berkemungkinan besar ia adalah motosikal yang turut berada di acara berkenaan.