TAK Sangka Enea Bastinini Akan Pintas - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/16/20241 min read

JORGE Martin mengakui gerakan Enea Bastianini pada pusingan terakhir Perlumbaan Sprint MotoGP Grand Prix Barcelona 2024 adalah di luar jangkaannya.

Martin dari Pramac Ducati tak berjaya mengesahkan gelaran dunia MotoGP lebih awal selepas sekadar menamatkan perlumbaan di belakang dua pelumba Ducati Lenovo, Bastianini dan pemenang, Francesco Bagnaia.

Keputusan itu turut menyaksikan kelebihan yang dimilikinya menguncup kepada 19 mata berbanding 24 mata sebelum perlumbaan.

"Pintasan daripada Bastianini pada pusingan terakhir tidak dijangka. Saya mendengar jenteranya jauh. Saya fikir mungkin dia kemalangan, jadi saya hanya menunggang seperti biasa dan bersedia untuk keluar sedikit (garisan perlumbaan)," kata Martin.

"Dia (Bastianini) melakukan kerja yang menakjubkan. Dia bersaing dengan Marc sebelum ini, jadi saya faham dan esok pasti akan menjadi perlumbaan yang menarik.

"Saya berharap untuk menikmatinya dan cuba untuk memahami bagaimana untuk menjadi lebih kompetitif sedikit."

Mengulas perancangannya, Martin yang akan memulakan perlumbaan di petak keempat berkata dia tetap cuba untuk mendapatkan kedudukan podium sekalipun hanya perlu berada di kedudukan ke-9 jika Bagnaia menjuarai perlumbaan.

"Saya fikir strateginya perlu sama, cuba untuk berada di podium," kata Martin. "Saya perlu mengawal sedikit kawalan tetapi saya fikir pertarungan dengan Enea membuatkan saya memberikan lebih tumpuan.

"Jadi itulah sasrannya, untuk cuba memberi tumpuan, menikmati dan sudah tentu jika sesuatu berlaku pada pusingan terakhir, saya perlu mengawal risiko dan tidak cuba menyertai pertarungan. Saya akan melakukan apa yang saya perlu lakukan untuk mendapatkan gelaran ini."

Martin begitupun berkata turut berdepan masalah gemuruh namun situasi itu hilang selepas perlumbaan bermula.

"Saya agak gemuruh selepas kelayakan, saya tidak makan hampir apa-apa," kata Martin. "Saya cuba untuk tidur sedikit, mandi air sejuk. Dan selepas perlumbaan, saya agak tenang. Saya berada dalam keadaan baik.

"Saya mahu melihat bagaimana perasaan saya ketika perlumbaan dan apabila saya berada di atas jentera, segala-galanya berada dalam kawalan."

Perlumbaan GP hari ini turut menjadi perlumbaan terakhir Martin bersama Pramac dan perlumbaan terakhir Pramac bersama Ducati.

Martin akan menyertai Aprilia pada musim depan manakala Pramac mengambil keputusan menyertai Yamaha.