TAK Sedia Menang Tahun Lalu - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/2/20241 min read

JORGE Martin mengakui dia belum bersedia untuk menjulang kejuaraan dunia MotoGP musim lalu tetapi pelumba Pramac Ducatu itu percaya situasi sudah berubah pada tahun ini.

Martin tewas kepada pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dalam pemburuan kejuaraan dunia musim lalu pada pusingan terakhir tetapi pelumba Sepanyol itu memperoleh kelebihan pada aksi di Grand Prix Malaysia 2024.

Memiliki kelebihan 17 mata menuju aksi di Sepang, pelumba kelahiran Sepanyol itu menambahnya kepada 29 mata selepas menjuarai Perlumbaan Sprint ketika pencabar utamanya Bagnaia terjatuh dan gagal meraih sebarang mata.

"Saya fikir pada tahun lalu, saya tidak bersedia untuk menang," kata Martin.

"Saya laju, tetapi saya tidak bersedia. Saya takut dan ketika tempoh-tempoh sukar, inilah di mana saya lebih matang.

"Sudah tentu adalah satu kelebihan untuk berada di sini pada tahap ini dengan kelebihan ini. Tetapi segala-galanya belum berakhir, jadi saya perlu fokus untuk esok (hari ini).

"Saya fikir ia akan menjadi perlumbaan yang amat panjang."

Martin dalam pada itu berkata dia akan terus berlumba seperti biasa pada perlumbaan utama esok sekalipun mempunyai peluang cukup baik melengkapkan kejuaraan dunia di Malaysia.

Dan katanya, dia tidak boleh menjadi tenang kerana situasi itu akan membuatkannya menjadi lebih gemuruh sekaligus melakukan kesilapan.

"Saya merasakan yang apabila saya bernafas dan cuba untuk menjadi lebih tenang, saya akan menjadi lebih gemuruh dan segala-galanya menjadi lebih sukar," kata Martin.

"Hari ini saya agak gemuruh pada sebelah pagi. Jadi saya berkata kepada Gino (Borsoi - Bos Pramac), saya akan melakukannya. Maknanya, saya tidak mahu menamatkan perlumbaan di tempat kedua, ketiga.

"Saya mahu menang. Jika Pecco lebih kuat, dia akan menang. Jika tidak, dia tidak akan mendapatkannya.

"Jadi esok agak sama, cuba untuk melakukannya. Jika Pecco lebih kuat, Ok. Tetapi saya akan memberikan yang terbaik dan ia hanya satu-satunya cara saya boleh fokus 100 peratus adalah dengan melakukannya. Jadi saya akan cuba melakukannya," kata Martin yang mengakui Pecco akan merisikokan segala-galanya untuk mengalahkannya.