TAK Senang Nak Ada Jentera Yang Tiba-Tiba Bagus - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/10/20241 min read

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menjelaskan jentera Ducati Panigale V4R miliknya tidak dapat mengejar kelajuan jentera Honda CBR1000RR-R yang ditunggang pelumba Jepun, Yuki Kunii pada aksi Perlumbaan 2 ASB1000, semalam di Motegi, Jepun.

Hafizh pada aksi Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) itu berjaya menaiki podium dengan menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-3 sebelum meraih tempat kedua pada Perlumbaan 2.

Kedua-dua perlumbaan dimenangi pelumba tuan rumah dengan Sho Nishimura (TKKR BMW Racing) menjuarai Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 menjadi milik Yuki Kunii (SDG Team HARC-Pro Honda Ph.).

Mengulas aksinya pada Perlumbaan 2, Hafizh berkata pasukannya berjaya meningkatkan kemampuan jentera terutama dari sudut kelajuan tetapi ia masih tidak mencukupi mengejar pendahulu perlumbaan, Kunii.

"Ketika perlumbaan, kami memperbaiki kelajuan jentera namun tidak cukup untuk mengejar Kunii," kata Hafizh. "Saya cuba kekalkan kelajuan. Saya percaya saya akan dapat mengejar Sho pada pertengahan perlumbaan, saya juga sudah tiba tetapi dia melakukan kesilapan.

"Selepas itu, saya hanya cuba kekal kelajuan tetapi ia bukan mudah kerana kami kehilangan banyak masa ketika sektor 3 berbanding pelumba lain.

"Tidak mudah untuk memperoleh jentera yang tiba-tiba bagus," kata bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara itu.

Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu turut mengakui berdepan masalah dengan jentera terutama selepas jenteranya dilanggar pada awal perlumbaan.

"Pada awal perlumbaan, ada pelumba melanggar bahagian belakang saya, dan saya dapat rasakan di bahagian kiri jentera saya ada sedikit gegeran. Selain itu, sistem elektronik juga tak berfungsi dengan sepatutnya mungkin kerana keadaan geometri jentera.

"Apapun, ia adalah sebahagian daripada perlumbaan dan tahniah kepada semua pelumba yang ada di podium," katanya.

Keputusan podium berganda di Motegi menyaksikan Hafizh merampas carta pendahulu kejuaraan kelas ASB1000 daripada pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar yang mengalami penurunan prestasi.

"Syukur Alhamdulillah, kami kembali ke tempat teratas carta kejuaraan," kata Hafizh.

"Terima kasih kepada pasukan saya, JDT Racing Team dan juga kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempercayai saya dan kini kami adalah pendahulu kejuaraan.

"Saya akan cuba fokus, berlatih dengan gigih terutama untuk perlumbaan Suzuka 8Hours dan kemudian ke Mandalika," kata Hafizh.