TAK Terlalu Berharap Dengan Enjin V4 - Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/12/20241 min read


PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo tidak meletakkan harapan menggunung enjin baharu pengeluar Jepun itu di MotoGP yang berkonfigurasi V4 adalah jalan untuk mereka keluar daripada kemerosotan prestasi.
Yamaha pada musim panas lalu mengumumkan yang mereka sedang membangunkan enjin baharu V4 untuk jentera MotoGP.
Perkara itu berlaku sekali pun pasukan itu menerusi Quartararo baru saja menjulang gelaran dunia pada 2021 dan naib juara pada 2022 sebelum prestasi mereka merudum teruk.
Pada musim ini, Yamaha menamatkan kempen tanpa sebarang kejayaan di pentas podium.
Yamaha seperti diketahui menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan enjin berkonfigurasi 4 Silinder Sebaris dengan Ducati, Aprilia, KTM dan Honda menggunakan V4.
Tetapi berikutan pembangunan enjin berkenaan secara relatifnya masih di peringkat awal, pelumba kelahiran Perancis itu tidak yakin ia adalah 'ubat' terharap kemerosotan prestasi Yamaha.
"Saya fikir ia adalah fasa, terutama apa yang kami perlu lakukan kerana kami benar-benar tahu di mana potensi V4 sebenarnya," kata Quartararo memetik laporan laman web Sepanyol, Motosan.
"Kita lihat Ducati, Aprilia, KTM dan juga Honda, ada di antara mereka yang lebih teruk berbanding kami tetapi ada juga yang jauh lebih baik.
"Kami perlu melihat begitu banyak perkara tetapi saya tidak benar-benar meletakkan harapan sepenuhnya kepada enjin baharu."
Setakat ini, tiada perkhabaran yang menyatakan ada pelumba sudah menguji enjin berkenaan di litar.
