TAK Tunggu EICMA 2023, Moto Guzzi Stelvio (2024) Didedahkan, Tork 100+ Nm!

TERKINI

11/2/20231 min read

SEBELUM tontonan secara rasmi di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 20204, Moto Guzzi tampil menayangkan model aras tinggi terbaharunya dalam segmen 'Adventure touring', Moto Guzzi Stelvio (2024).

Kepada yang tak begitu mengenali Moto Guzzi, ia adalah syarikat pengeluar motosikal ikonik dari Itali dan memiliki sejarah cukup panjang melebihi 100 tahun.

Dan nama Stelvio pula memang antara 'senjata' jenama itu sebelum 'dihentikan' pengeluaran susulan kekurangan permintaan. Tetapi dengan kebangkitan semula populariti segmen 'ADV Touring', ia kembali 'dihidupkan'.

Dengan sasaran untuk membawa kembali jenama itu ke puncak seperti Moto Guzzi V100 Mandello, Moto Guzzi tidak melakukan sebarang 'teka-teki' atau menayangkan imej 'samar' namun imej penuh termasuk spesifikasi Moto Guzzi Stelvio (2024) sekalipun ia dijadual membuat penampilan rasmi di EICMA.

Dari sudut penggayaan, Moto Guzzi Stelvio (2024) dihasilkan dengan platform yang sama dengan V100 Mandello, terutama rekaan lampu depan namun dengan 'perwatakan' lebih ranggi dan agresif.

Tetapi, ia tidak begitu 'garang' seperti Moto Guzzi V85TT dan cukup sesuai untuk penggemar penjelajahan jarak jauh yang agak agresif, seperti namanya yang diambil daripada lintasan ikonik Itali, 'Stelvio Pass'.

Mengulas trenkuasa, Moto Guzzi Stelvio (2024) dijana enjin bersesaran 1,042 cc, V-twin 'Compact Block', Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 115 Hp dan tork 115 Nm.

Sebagai motosikal 'ADV touring', set roda Moto Guzzi Stelvio (2024) menggunakan rim jenis jejari 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang). Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan penuh.

Seperti V100 Mandello, Moto Guzzi Stelvio (2024) turut dipadankan dengan teknologi terkini seperti 'Cornering ABS', Kawalan Traksi dan lima mod tunggangan.

Lebih menarik, ia turut dipadankan dengan teknologi terkini Moto Guzzi PFF (Piaggio Fast Forward) Rider Assistance Solution. Teknologi itu menggunakan Radar Imej 4D yang meningkatkan ciri keselamatan seperti Pengesan Pelanggaran, Pemantauan Titik Buta dan Kawalan Jelajah Adaptif.

Begitupun, ciri ini dikatakan datang secara ciri pilihan. Selain itu, ia turut datang dengan ciri seperti pemanas pelana, pemanas grip serta pelbagai aksesori pilihan.

Setakat ini, tiada pengumuman mengenai harga dibuat Moto Guzzi dan ia dijangka didedahkan ketika EICMA yang dijadual pada 9 hingga 12 November ini.