TAMATKAN Kemarau Mata di Magny-Cours Suntik Semangat Zaqhwan

Mata sulung yang diraih bersama pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu bukan sekadar angka, namun ia menjadi titik tolak kepada semangat baharu buat Zaqhwan untuk mengharungi baki kempen musim 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/8/20251 min read

SELEPAS mengharungi beberapa pusingan yang mencabar, pelumba negara Md Zaqhwan Zaidi akhirnya berjaya menamatkan kemarau pungutan mata di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), apabila menamatkan Perlumbaan 1 pada Pusingan 9 WSBK di Litar Magny-Cours, Perancis, di kedudukan ke-15.

Mata sulung yang diraih bersama pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu bukan sekadar angka, namun ia menjadi titik tolak kepada semangat baharu buat Zaqhwan untuk mengharungi baki kempen musim 2025.

"Saya gembira kerana berjaya meraih satu mata, dan sejujurnya saya tidak menjangkakan keputusan ini. Kami sudah bekerja keras sepanjang hujung minggu, dan hasil ini memberi motivasi kepada saya dan pasukan,” kata Zaqhwan.

Sekalipun tidak berjaya mengulangi pencapaian sama dalam Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 dengan kedudukan tempat ke-19 dan ke-18 dalam perlumbaan berkenaan, Zaqhwan tetap positif dengan prestasi keseluruhan sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Kami berjaya tingkatkan rentak dan masa pusingan berbanding sesi terdahulu. Saya gembira dengan kemajuan yang dicapai. Kami tahu kami masih jauh dari kelompok hadapan, tapi usaha untuk merapatkan jurang tetap diteruskan. Fokus saya adalah beri yang terbaik setiap hujung minggu.”

Pusingan kesembilan WorldSBK di Perancis sekali lagi menyaksikan dominasi penuh juara bertahan dari Turki, Toprak Razgatlioglu yang unggul menjuarai ketiga-tiga perlumbaan ditawarkan.

Pusingan seterusnya dijadual berlangsung di Aragon, Sepanyol pada 27 dan 28 September ini.