'TANDA Aras Alvaro Bautista, Bukan Pecco Bagnaia'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/5/20241 min read

ANDREA Iannone yang beraksi sebagai pelumba gantian VR46 Ducati di Grand Prix Malaysia 2024 mengakui persembahannya berjaya mencetuskan senyuman kerana dia sudah memberikan yang terbaik.

Pelumba kelahiran Itali itu dipilih sebagai pelumba yang menggantikan Fabio Di Giannantonio yang menamatkan kempen MotoGP lebih awal selepas dijadual mengharungi pembedahan.

Dan pelumba yang pernah dipalit kontroversi doping dan digantung selama empat tahun sebelum membuat kepulangan semula di Kejuaraan Superbike Dunia musim ini menamatkan aksi di Sepang di kedudukan ke-17.

Beraksi menggunakan jentera Ducati GP23, Iannone melepasi garisan penamat 47.599 saat (s) di belakang pemenang, Francesco Bagnaia daripada Ducati Lenovo.

"Mengharungi 19 pusingan ini benar-benar meletihkan," kata Iannone memetik laporan GPOne mengulas aksinya di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS. "Selepas lima pusingan, tangan saya mula sakit.

"Asasnya, saya memasuki mod berjuang hanya untuk kekal berada dalam perlumbaan. Satu pusingan saya perlahan, pusingan berikutnya saya memberikan segala-galanya dan kemudian perlahan semua.

"Sasarannya adalah untuk menamatkan perlumbaan. Pada akhirnya, saya 15 saat lebih bagus berbanding Basutista pada tahun lalu, lebih atau kurang dengan jentera yang sama. Sebagai tambahan, saya berpeluang untuk mengujinya.

"Sejak saya berada di Jerez sehingga datang ke sini, tanda aras saya adalah seperti itu, bukan Bagnaia."

Iannone dalam pada itu berkata dia turut mendapat pujian daripada pemenang Perlumbaan Sprint, Jorge Martin.

"Dia (Martin) melihat data saya dan berkata, 'bro', lihat bagaimana kamu menunggang!," kata Iannone yang mengakui latihan yang dilakukan menggunakan jentera Superbike Ducati Panigale V4R sebelum beraksi di Sepang tidak begitu membantu kerana kedua-dua jentera cukup berbeza.

"Saya meninggalkan Sepang dengan perasaan gembira kerana saya lega yang saya masih boleh menunggang dengan laju dan ia adalah perkara yang saya ingin ketahui. Semua orang tahu, mereka melihat datanya. Ia adalah perkara yang baik dan saya fikir saya sudah melakukan tugas saya."