TANDA Harga ZXMoto 820RR Didedahkan, RM 39,888!
Sejak kehadirannya diumumkan beberapa bulan lalu, ZXMoto 820RR menjadi antara model yang ditunggu-tunggu peminat model dalam segmen 'Sportbike' yang mahukan prestasi unit dengan spesifikasi premium pada tanda harga kompetitif
TERKINI
9/13/20261 min read


SELEPAS sekian lama berteka-teki, ZXMoto Malaysia akhirnya mengumumkan harga rasmi untuk model 'flagship' jenama itu ZXMoto 820RR, hari ini yang ditawarkan pada harga jualan rasmi RM 39,888.
Sejak diumumkan kehadirannya beberapa bulan lalu, ZXMoto 820RR menjadi antara model yang ditunggu-tunggu peminat model dalam segmen 'Sportbike' yang mahukan prestasi unit dengan spesifikasi premium pada tanda harga kompetitif.
Sebagai info, ZXMoto 820RR bukan sekadar 'Sportbike' 'biasa-biasa' namun menjadi model yang dibawa ZXMoto untuk berentap di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP. Dan kehadirannya di pentas berkenaan bukan sebagai pelengkap, malah menjadi pencabar kejuaraan.
Selain rekaan yang menarik, ZXMoto 820RR dipadankan dengan enjin bersesaran 818.8 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Penyejuk Cecair, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'Slipper' dan 'bi-directional quickshifter'.
Jentera berkuasa ini mampu menghamburkan kuasa 135 Hp pada 12,000 rpm serta tork puncak 80 Nm pada 9,500 rpm.
Selain trenkuasa yang padu, apa yang membuatkan ZXMoto 820RR menarik adalah ia turut digandingkan dengan pelbagai komponen dan teknologi menarik yang kebiasaan dipadankan kepada jentera berkuasa tinggi.
Turut dilengkapi dengan 6-Axis IMU, ciri ini menawarkan fungsi Cornering ABS dan Cornering Traction Control, Launch Control, Cruise Control dan 5 mod menunggang (Rain, Road, Sport dan Custom 1 dan Custom 2).
Pada harga yang diumumkan, motosikal ini turut menggunakan panel meter TFT dengan ciri sambungan ke telefon pentas, sistem kunci pintar (Keyless), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan pemantau tekanan tayar (TPMS).
Sistem brek motosikal dengan berat 193 kilogram (kg) ini menggunakan cakera kembar bersaiz 320 mm (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi-saluran yang boleh dinyahaktifkan.
Suspensi pula dijana fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri boleh laras penuh.
Untuk pasaran Malaysia, 3 pilihan warna ditawarkan iaitu:
Eclipse Black
Rebel Red
Ghost White
Seperti biasa, setiap pembelian disokong dengan jaminan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh dua tahun dengan komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti tanpa had perbatuan.







