TANPA Satu Sayap, Saya Tetap Berlumba Dengan Baik - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/26/20241 min read

MARC Marquez sekali lagi mencipta sensasi apabila meraih tempat ke-2 pada Perlumbaan Sprint GP Catalan 2024, semalam dan apa yang menarik, memulakan aksi di Catalunya petak ke-14.

Pelumba Gresini Ducati itu melakukan aksi hampir serupa di Le Mans sebelum ini tetapi lebih mengujakan, terpaksa berlumba dengan hanya satu sayap aero susulan pelanggaran dengan Jack Miller di awal perlumbaan.

Di Le Mans, Perancis, pelumba kelahiran Sepanyol itu muncul naib juara dalam kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan sekalipun bermula di petak ke-13.

Dan seperti pemenang Aleix Espargaro, Marquez memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Raul Fernandez, Brad Binder dan Francesco Bagnaia yang kesemuanya terjatuh ketika sedang mendahului.

"Kami mengubah pelarasan jentera dengan agak banyak," kata Marquez. "Sesuatu yang baik untuk mempunyai pelumba Ducati yang laju di dalam kumpulan.

"Kadang kala mereka menganalisa dan pergi ke arah saya. Kali ini kami menganalisa di mana kami berada dan di mana mereka berada.

"Kami pergi ke arah itu dan saya mula merasa baik. Masalahnya pada Kelayakan 1 adalah ia adalah kali pertama dengan jentera (pelarasan baharu) yang amat berbeza.

"Tetapi ketika perlumbaan, saya terus berusaha dan memahami bagaimana untuk menunggang jentera itu.

"Ia perubahan yang besar dan agak terlalu lewat kerana kami perlu memulakan perlumbaan di petak ke-14, tetapi ia akan dipadankan dengan tayar jenis medium (tayar belakang) jadi kita lihat bagaimana kami boleh mengendalikannya.

"Hari ini (semalam) akan menjadi analisis yang menarik untuk Gigi dan pasukannya kerana tanpa satu sayap saya berlumba dengan baik," kata Marquez.

Mengulas lanjut, Marquez mengakui dia memiliki kelajuan yang hampir sama dengan Bagnaia dan Jorge Martin (Pramac Ducati) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4.

Selepas aksi Sprint di Catalan, juara dunia MotoGP enam kali itu merampas kedudukan Bagnaia di tangga kedua carta pelumba dan ketinggalan 37 mata di belakang pendahulu, Martin.