TAWARAN Formal Mega Geng 'H' Kepada Toprak Razgatlioglu Hampir Siap

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/2/20251 min read

PELUMBA bintang Turki, Toprak Razgatlioglu dilaporkan memperoleh dua tawaran berstatus mega untuk memikatnya keluar daripada BMW Motorrad.

Dan salah satu daripada tawaran itu iaitu daripada Honda dikatakan sudah berada di tahap akhir dan hanya menunggu tandatangan daripada penyandang juara WorldSBK itu, memetik laporan Motosprint.

Laporan itu berkata perkembangan menarik itu diperoleh hasil daripada perjumpaan dengan pengurus Razgatlioglu, Kenan Sofuoglu ketika pusingan di Assen, Belanda.

Honda dikayakan bersedia untuk mengeluarkan dana dengan jumlah mega untuk kontrak selama dua tahun untuk mengekalkan Razgatlioglu di WorldSBK pada 2026 dan 2027.

Pengeluar Jepun itu turut dikatakan menawarkan Razgatlioglu pilihan yang membawanya ke MotoGP.

Menurut laporan itu, Razgatlioglu akan berlumba bersama Honda di WorldSBK pada 2026 dan mengambil bahagian dalam program ujian MotoGP.

Razgatlioglu kemudian akan dinaikkan pangkat ke MotoGP bersama pasukan itu pada 2027 ketika peraturan baharu bermula dengan Pirelli mula menjadi pembekal tayar rasmi kejuaraan itu.

Begitupun, Honda bukan satu-satunya pengeluar yang berminat kerana Yamaha turut dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya.

Razgatlioglu yang pernah menjulang gelaran dunia WorldSBK bersama Yamaha dikatakan mempunyai hubungan baik dengan salah seorang bos pasukan itu, Paolo Pavesio.

Dan ia dikatakan mampu menjadi kunci untuk membawanya ke MotoGP tetapi destinasinya bukan pasukan 'kilang', tetapi satelit iaitu Pramac Yamaha.

Sofuoglu sebelum ini pernah menyatakan ia satu tawaran yang sukar ditolak kerana pasukan satelit itu ketika ini mendapat sokongan penuh pengeluar Jepun itu dan menggunakan jentera yang sama dengan pasukan 'kilang'.

Menurut laporan itu lagi, Sofuoglu berhasrat untuk menyelesaikan 'teka-teki' itu di antara pusingan di Cremona, Itali minggu ini dan pusingan di Most, Republik Czech.