TAWARAN Pasukan 'Kilang' KTM Sukar Ditolak - Alex Marquez

Alex Marquez menyertai kem KTM bagi menghadapi era baharu peraturan enjin 850 cc MotoGP pada 2027, dan bakal membentuk gandingan serba baharu bersama seorang lagi bekas pelumba Ducati, Fabio Di Giannantonio

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20261 min read

PELUANG untuk kembali bergelar pelumba pasukan pengeluar atau berstatus 'kilang' disifatkan Alex Marquez sebagai tawaran yang sukar untuk ditolak, sekali gus menjadi faktor utama dia mengucapkan selamat tinggal kepada Gresini Ducati.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu sah menyertai kem KTM bagi menghadapi era baharu peraturan enjin 850 cc MotoGP pada 2027, dan bakal membentuk gandingan serba baharu bersama seorang lagi bekas pelumba Ducati, Fabio Di Giannantonio.

Ini adalah kali kedua Marquez menyertai pasukan 'kilang' selepas penampilan sulungnya bersama Repsol Honda pada 2020.

Dan selepas menamatkan kempen MotoGP musim lalu sebagai naib juara dunia, Alex yang juga adik kepada juara dunia 9 kali, Marc Marquez mengakui pelana jentera pengeluar menjadi sasaran utamanya.

Selain itu, Alex turut mendedahkan penghijrahannya turut didorong oleh kesungguhan KTM yang merisiknya secara terus.

"Mereka datang kepada saya dan memberitahu mereka amat memerlukan saya dalam projek ini. Ia membuatkan saya rasa dihargai dan yakin kami mampu melakar kejutan," katanya.

Selain status pasukan, Alex berkata sokongan teknikal turut menjadi elemen kritikal menjelang pertukaran peraturan baharu dengan beraksi bersmaa pasukan kilang akan memastikannya mendapat akses terus kepada sebarang komponen peningkatan jentera.

Dan biarpun wujud perbezaan ketara dari segi penawaran gaji berbanding pasukan satelit, Marquez menegaskan wang bukanlah motif utamanya, sebaliknya ia didorong oleh potensi projek KTM serta impian peribadinya untuk kembali ke pasukan pengeluar.