TECH3 KTM Sisih Maverick Vinales Aksi Di Aragon
Pengurus pasukan Tech3, Nicolas Goyon, menjelaskan keputusan mengekalkan khidmat Espargaro itu dicapai hasil persetujuan bersama KTM dan Vinales sendiri bagi membolehkan pelumba berkenaan berehat secukupnya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/25/20261 min read


PASUKAN Tech3 KTM mengesahkan pelumbanya, Maverick Vinales terpaksa melupakan aksi di Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini, dengan tempatnya sekali lagi diisi oleh penunggang uji KTM, Pol Espargaro.
Pelumba Sepanyol yang pernah merekodkan 10 kemenangan di pentas MotoGP itu masih belum kembali beraksi sejak rehat pertengahan musim, berikutan proses pemulihan kecederaan bahu yang dialaminya di Jerman tahun lalu.
Pengurus pasukan Tech3, Nicolas Goyon, menjelaskan keputusan mengekalkan khidmat Espargaro itu dicapai hasil persetujuan bersama KTM dan Vinales sendiri bagi membolehkan pelumba berkenaan berehat secukupnya.
"Pol (Espargaro) mempamerkan aksi yang mantap untuk pasukan di Silverstone sebelum ini (menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13), dan pengalamannya meletakkannya di posisi terbaik untuk terus membantu kami mengharungi cabaran di Aragon," kata Goyon.
Setakat ini, tiada tempoh masa yang ditetapkan berhubung tarikh sebenar kepulangan Vinales, namun Tech3 optimis pelumba itu mampu kembali menunggang jenteranya pada GP San Marino di Misano, bulan depan.
Difahamkan, Vinales kini sedang menjalani rawatan rapi susulan masalah otot koyak pada bahagian bahunya, sebagai ikhtiar terakhir bagi mengelakkan pembedahan yang berisiko menamatkan kempen musimnya lebih awal.
Ketiadaan Vinales ini hadir ketika hubungan antara pelumba itu dan pengurusan KTM dilaporkan sedang bergolak, lebih-lebih lagi selepas dia disahkan kehilangan tempat dalam pasukan berkenaan bagi saingan musim 2027.
Malah, ketika rehat musim panas baru-baru ini, timbul khabar angin mendakwa KTM sedang mencari jalan untuk menamatkan kontraknya serta-merta, namun spekulasi pemecatan itu segera dinafikan oleh Vinales dan pengurusan tertinggi Tech3.

