'TEGURAN' Buat Valentino Rossi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/14/20241 min read


BOS Dorna, Carmelo Ezpeleta 'menegur' legenda MotoGP, Valentino Rossi dengan menyatakan kritikan kepada Marc Marquez tidak mendatangkan manfaat kepada kejuraan berkenaan.
Rossi sebelum ini 'membuka' kembali luka lama yang berlaku pada kempen MotoGP 2015 dengan menuduh Marquez membuat konspirasi untuk menjatuhkannya sekaligus gagal menambah koleksi kejuaraan dunianya.
Begitupun bagi Ezpeleta yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Dorna yang juga pengelola MotoGP, perkara itu sepatutnya tidak lagi 'dimainkan'.
"Saya tidak tahu, tetapi saya fikir adalah lebih baik untuk tidak membangkitkannya kembali," kata Ezpeleta kepada media Sepanyol, AS.
"Ia sudah lama. Sudah beberapa tahun berlaku.
"Bagi saya adalah bagus yang Marc tidak mengeluarkan komen atas kenyataan itu.
"Jelas, saya bukan sesiapa untuk memberitahu Valentino apa yang dia perlu lakukan atau apa tidak boleh dibuat, tetapi saya tidak fikir ia akan membantu apa-apa dengan bercakap mengenainya sekarang.
"Saya tidak bercakap mengenainya dengan Valentino dan saya mempunyai rasa hormat yang cukup tinggi kepadanya dan bersyukur atas apa yang dilakukan olehnya kepada sukan ini.
"Saya fikir bukan satu keperluan untuk saya bercakap mengenainya, tetapi jika dia percaya, dia akan menyatakannya."
Salah satu daripada insiden paling mengejutkan dan diingati pada 2015 adalah ketika Grand Prix Malaysia yang menyaksikan Rossi menendang jentera Marquez sehingga pelumba Sepanyol itu terjatuh.
Marquez yang menyertai Ducati menerusi pasukan satelit, Gresini Ducati tampak tidak mahu diseret dalam situasi berkenaan apabila membuat keputusan untuk tidak membalas tuduhan Rossi.
