TEGURAN Pecco Bagnaia Kepada Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/23/20252 min read

FRANCESCO Bagnaia menegaskan sebagai pelumba, kontrak yang sudah ditandatangani perlu dihormati, situasi yang tampak dituju tepat kepada pelumba Aprilia MotoGP, Jorge Martin yang ketika ini dipalit kemelut membabitkan masa depannya.

Bagnaia yang bersaing sengit dengan Martin dalam pemburuan gelaran dunia pada musim 2023 dan 2023 bercakap mengenai perkara itu selepas Aprilia mengeluarkan kenyataan membabitkan isu berkenaan.

Aprilia dalam kenyataan menyatakan yang kontrak pengeluar itu dengan Martin masih kekal utuh di sebalik pendedahan yang mendakwa juara dunia MotoGP 2024, Martin sedang mencari jalan keluar meninggalkan pasukan itu menerusi terma dalam kontraknya.

"Saya menantikan berita daripada Aprilia sebelum mendapat idea mengenai perkara ini, dan seperti saya jangka Aprilia hanya berkata mereka akan meneruskannya seperti ketika menandatangani kontrak," kata Bagnaia.

"Apabila kamu mempunyai kontrak kamu perlu mengikutinya, kamu tidak boleh membatalkannya. Pendapat saya, jika kamu bercakap mengenai sesuatu dan jika kamu menandatangani sesuatu, kamu perlu menghormatinya.

"Ia boleh menjadi masalah jika seseorang jika seseorang mencetus kekacauan seperti ini, dan ia seperti menjadi pencetus kepada sesuatu. Jadi saya fikir ia adalah bukan perkara yang betul."

Bagnaia menambah yang dalam era media sosial sekarang menjadikannya sukar untuk ditafsir.

"Kita berada pada tempoh di mana ada banyak spekulasi bermain di media sosial dan ini adalah masalah yang besar. Saya fikir begitu kerana sukar untuk memahami (apa yang betul, apa yang palsu)," katanya.

"Saya fikir Aprilia melakukan perkara yang betul, saya fikir Jorge melakukan pilihan yang betul. Jika kamu menandatangani kontrak kamu perlu menghormatinya."

Juara dunia MotoGP 2022 dan 2023 itu turut menambah kontraknya tidak mempunyai klausa untuk keluar, seperti yang didakwa ada dalam kontrak Martin.

Pelumba yang baru menamatkan zaman bujangnya pada tahun lalu berkata yang kontrak seperti perkahwinan di mana seseorang perlu cuba menyelesaikan kemelut yang berlaku jika berdepan masalah.

"Kamu perlu mengerahkan segala usaha untuk menyelesaikan masalah. Saya fikir ia adalah perkara yang betul. Ia seperti perkahwinan. Jika kamu memutuskan untuk pergi ke depan, kamu perlu memberikan semaksimum mungkin untuk menjadikan hidup kamu gembira."

Ketika ditanya mengenai rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez yang meninggalkan Honda sebelum kontraknya berakhir untuk menyertai Ducati Gresini, Bagnaia mengulangi apa yang dikatakan sebelum ini.

"Jika kamu menandatangani kontrak, kamu perlu menghormatinya. Tidak betul jika kamu keluar."