TEKAD Helmi Azman Di Motegi
Selepas dua pusingan, pelumba negara, Md Helmi Azman ketika ini menghuni tangga ketiga dalam carta kedudukan pelumba SS600 di ARRC 2025 menuju Pusingan 3 di Jepun
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/9/20251 min read


SELEPAS berjaya merangkul kemenangan bergaya di Sepang bulan lalu, pelumba negara Md Helmi Azman kini bersedia untuk meneruskan momentum positif itu apabila Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersambung di Pusingan ketiga di Litar Twin Ring Motegi, Jepun hujung minggu ini.
Helmi, yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia dalam kelas SS600, menampilkan aksi mantap di laman sendiri apabila menjuarai Perlumbaan 2 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, sekali gus melonjak ke kelompok tiga teratas dalam carta keseluruhan.
Bagi pelumba berpengalaman itu, musim ini datang dengan cabaran berbeza - tetapi dia lebih bersedia, terutama selepas mengenal pasti kelemahan yang menjejaskan prestasinya musim lalu.
"Cabaran utama musim lalu bukan datang daripada pencabar kami tetapi lebih kepada tetapan jentera yang kurang memuaskan. Tetapi pada musim ini, saya lebih yakin kerana kami sudah mengenal pasti beberapa aspek penting.
"Apapun, kami masih perlu menambah baik prestasi di selekoh, lebih-lebih lagi apabila pencabar lain memiliki kelebihan di laluan lurus yang panjang. Kami juga perlu menambah kelajuan ketika keluar dari selekoh untuk mengejar lawan.
"Dan sudah tentu, ia pasti sesuatu yang ideal jika kami mempunyai kelajuan yang lebih baik di laluan yang lurus juga."
Helmi dalam pada itu berkata fokusnya masih terarah untuk merangkul gelaran keseluruhan dengan persaingan dilihat masih terbuka ketika ini.
"Tumpuan utama adalah mengutip sebanyak mungkin mata dan mengekalkan momentum sepanjang baki musim ini. Tetapi, nasib juga memang memainkan peranan, tetapi apa yang lebih penting adalah mempunyai pemikiran yang betul dan kekal fokus.
"Dunia perlumbaan ini kejam, ada hari kita tersenyum, ada hari kita kecewa. Apa yang penting, kita terus fokus dan bersedia untuk perlumbaan seterusnya,” katanya.
Selepas dua pusingan - Thailand dan Malaysia - pelumba Indonesia, Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team) mendahului carta keseluruhan dengan 66 mata diikuti pelumba Thailand, Anupab Sarmoon (Yamaha Racing Thailand) yang mengumpul 63 mata.
Helmi kini berada di kedudukan ketiga dengan 57 mata, sekali gus masih dalam landasan untuk menjulang kejuaraan musim ini.
