TEKANAN Lagi Tinggi Berlumba Dengan VR46 Ducati - Franco Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/28/20241 min read

FRANCO Morbidelli boleh diibaratkan seperti peribahasa bagai 'Sirih pulang ke gagang' apabila menyertai pasukan milik mentornya, VR46 Ducati bagi menghadapi kempen MotoGP musim 2025.

Morbidelli yang juga juara dunia Moto2 pada 2017 dan muncul naib juara MotoGP pada musim 2020 boleh dilabel sebagai antara alumni Akademi VR46 paling prolifik memulakan kariernya di MotoGP bersama Yamaha sebelum menyertai Ducati musim 2024.

Tetapi berikutan keputusan Pramac meninggalkan Ducati untuk menyertai Yamaha pada musim depan, pelumba berusia 29 tahun itu seperti diberikan talian hayat untuk menyertai VR46 Ducati.

Bersama VR46, Morbidelli akan menggunakan jentera Ducati GP24 yang digunakan pada musim ini untuk musim depan.

Memulakan tugas bersama pasukan VR46 Ducati ketika ujian di Barcelona, pelumba kelahiran Itali itu mengakui tidak asing dengan staf VR46 namun berlumba dengan pasukan milik mentornya turut datang dengan tekanan tambahan.

"Berlumba untuk pasukan Valentino Rossi pada pandangan saya mempunyai tanda aras yang sangat tinggi, dan kami berharap untuk mencapainya (jangkaan) itu pada masa depan," kata Morbidelli.

"Saya mempunyai kestabilan, kerana jenteranya adalah sama tetapi orang di sekeliling saya berubah. Tetapi saya mengenali mereka, jadi ia satu perubahan tetapi bukan yang besar."

Seperti Marc Marquez, Morbidelli baru menggunakan jentera Ducati musim ini dan selepas bergelut di awal musim susulan masalah kecergasan, dia berjaya menaiki podium pada Perlumbaan Sprint di San Marino.

"Saya mengingati segala penambahbaikkan yang kami buat sepanjang musim, sepanjang minggu, setiap masa kami mahukan sesuatu yang lebih berbanding perlumbaan sebelumnya.

"Ini adalah tahun yang amat baik sebagai pengalaman dan juga untuk dilihat."