TEMAN Rapat Jangka Marc Marquez Mampu Pecah Rekod Vale
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/19/20251 min read


JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez menyamai jumlah kemenangan yang diraih legenda, Angel Nieto selepas meraih kemenangan ke-90 Grand Prix (GP) di Argentina dan 'buruan' seterusnya adalah rekod milik Valentino Rossi.
Kemenangan di Termas de rio Hondo menyaksikan Marquez kini berkongsi tangga ke-3 carta pemenang terbanyak perlumbaan GP bersama Nieto.
Rossi dalam pada itu menghuni tempat ke-2 selepas merekodkan 115 kemenangan GP dengan seorang lagi legenda Itali, Giacomo Agostini mengisi carta teratas dengan 122 kemenangan.
Dan sekalipun tidak mahu rekod itu dipecahkan Marquez, rakan karib kepada Rossi, Uccio Salucci terpaksa akur yang pelumba kelahiran Sepanyol itu berpotensi mengatasi rekod berkenaan.
"Tahniah kepadanya (Marquez)," kata Salucci kepada AS.com. "Benar yang sasarannya kini adalah 115 kemenangan yang dimiliki Vale, dan saya fikir Marquez amat kuat, dia memperoleh jentera dan pasukan yang menakjubkan.
"Saya tidak berharap ia akan berlaku, tetapi saya fikir ia akan terjadi."
Kejayaan yang diraih Marquez yang berlumba bersama pasukan Ducati Lenovo itu menyaksikannya menyapu bersih kedua-dua perlumbaan GP yang ditawarkan pada musim ini.
Dengan bebaki 20 pusingan bagi musim 2025, juara dunia lapan kali itu dikatakan berupaya memintas carta yang dipegang Rossi.
Seperti diketahui, hubungan di antara Rossi dan Marquez sememangnya tidak cukup baik terutama selepas 'insiden' yang berlaku pada musim 2015.
Tahun lalu, Rossi turut mempersoalkan pemilihan Ducati yang memilih Marquez berbanding juara dunia, Jorge Martin untuk bergandingan dengan anak didiknya, Pecco Bagnaia.
