TEMPAHAN Aprilia RS457 (2024) Di Malaysia Dah Dibuka, Harga Bawah RM30k?

TERKINI

3/26/20241 min read

APRILIA membuat debut global 'Sportbike' terbaharunya, Aprilia RS457 (2024) pada penghujung tahun lalu dan ia sudah pun menjengah beberapa pasaran utama termasuk Asia.

Berdasarkan informasi yang diperoleh MotoDotMy.com sebelum ini, pihak Aprilia Malaysia tidak mahu menunggu masa yang lama untuk membawa Aprilia RS457 (2024) ke pasaran tempatan.

Dijangka bakal memeriahkan pasaran pada tahun ini, ada perkembangan terkini dan menarik diperoleh apabila ada pengedar tempatan jenama Itali itu di mula membuka tempahan membabitkan model berkenaan.

Lebih menarik, antara maklumat yang dikongsikan adalah berkaitan dengan harga pengenalan iaitu di bawah RM 30k. Tetapi seperti biasa, angka yang diumumkan itu adalah asas.

Maklumat lain yang dikongsikan adalah membabitkan pilihan warna iaitu tiga pilihan - Racing Stripes, Opalescent Light dan Prismatic Dark.

Seperti maklumat sumber sebelum ini, pelancaran motosikal berkenaan berkemungkinan besar berlangsung pada awal suku kedua 2023.

Sebagai info, Aprilia 457 membuat debut rasmi di Misano, Itali ketika Grand Prix Misano 2023.

Dan seperti namanya yang memiliki label 'RS', ia dibangunkan sebagai model berorentasikan prestasi berasaskan teknologi perlumbaan Aprilia.

Mengulas sudut rekaan, ia memang cukup mirip model-model dalam keluarga RS yang boleh dikatakan 'kacak'.

Tetapi apa yang lebih menarik, Aprilia RS 457 (2024) turut 'menyedut' teknologi yang digunakan 'abang besar' seperti Aprilia RS 660 antaranya penggunaan ‘Load-bearing crankcase’ selain ringan menerusi penggunaan kerangka aluminium.

Di bahagian trenkuasa, Aprilia RS457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan angka kuasa yang didedahkan setakat ini adalah 47 Hp.

Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) juga mengagumkan.

Menerusi teknologi 'Ride-by-wire', antara ciri bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.

Ciri-ciri menarik lain yang dibekalkan termasuklah penggunaan panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.