TEMPAT Ke-10 Dah Macam Podium - Jorge Martin
Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin yang dipalit dengan beberapa siri kecederaan dan kontroversi di awal pusingan sekali lagi bangkit untuk menamatkan perlumbaan utama di tempat ke-10 sekali pun bermula di petak ke-17
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/9/20251 min read


PENYANDANG juara dunia MotoGP, Jorge Martin menyifatkan kedudukan ke-10 yang diperolehnya di Grand Prix (GP) Catalan 2025 pada perlumbaan GP seperti menamatkan perlumbaan di podium.
Pelumba Aprilia Racing itu, yang dipalit dengan beberapa siri kecederaan dan kontroversi di awal pusingan sekali lagi bangkit untuk menamatkan perlumbaan utama di tempat ke-10 sekali pun bermula di petak ke-17.
Dan keputusan itu turut diperoleh meskipun bekas pelumba Pramac Ducati itu dilanggar daripada belakang oleh Brad Binder dan Jack Miller seawal pusingan pertama yang menyebabkan jenteranya berdepan masalah sebelum bangkit dengan rentak kelajuan yang mampu mencabar kedudukan lima terbaik.
"Kedudukan ke-10 bagi saya hampir seperti podium kerana saya bermula di petak ke-17," kata Martin.
"Saya dilanggar oleh pelumba di belakang saya pada pusingan pertama dan kemudian terpaksa kembali ke belakang kumpulan semula, dan kemudian saya turut berdepan masalah dengan peranti (ride Height) dan terpaksa mengambil laluan pintas.
"Jadi saya kehilangan dua saat, bukan disebabkan hukuman, tetapi ia membuatkan saya kehilangan beberapa kedudukan.
"Tetapi selepas itu, rentak kelajuan saya amat bagus. Syaa fikir ia adalah rentak kelajuan ke-4 atau ke-5 terbaik pada perlumbaan. Saya menguruskan tayar dengan baik, dan pada akhirnya saya amat kompetitif.
"Saya mula merasa lebih baik dan baik dengan jentera saya. Saya mampu untuk mencuba beberapa gaya. Nampaknya bahagian paling banyak saya kehilangan masa sepanjang hujung minggu ini ialah di selekoh berkelajuan tinggi. Tapi semasa perlumbaan, itu jadi titik terkuat saya."
Martin yang mengharungi minggu perlumbaan keempat selepas pulih daripada kecederaan turut menjelaskan mengapa dia mungkin perlu mengorbankan kekuatan membrek demi mendapatkan kelajuan di selekoh.
"Saya sangat kuat dalam aspek membrek dengan Aprilia. Mungkin terlalu kuat. Saya boleh memotong pelumba lain, tetapi ia membuat kelajuan saya berkurangan di selekoh.
"Sentiasa ada kompromi. Saya rasa saya perlu kurangkan sedikit kekuatan membrek, dan tambah kelebihan di bahagian lain," katanya.
