TEMPAT Ke-6 Diraih Hakim Danish Perlumbaan 2 Di Mugello, Qabil Irfan P7 Di Valencia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/2/20241 min read


TIADA kedudukan di podium berjaya diraih pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada aksi Pusingan 3 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024, hari ini di Mugello, Itali.
Selepas dua kali berturut-turut mengisi pentas podium di RBMRC di Jerez dan Le Mans sebelum ini, Hakim Danish menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-6.
Malah pelumba kelahiran Terengganu itu turut berdepan insiden membabitkan pelumba Afrika Selatan, Ruche Moodley namun bernasib baik tidak terjatuh sekalipun sudah bersentuhan.
Kemenangan Perlumbaan 2 di Mugello di milik Valentin Perrone diikuti Brian Uriarte dan Alvaro Carpe melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan di Mugello menyaksikan Hakim Danish kekal di tangga ke-5 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 72 mata dengan Maximo Quiles menghuni tangga teratas dengan 110 mata.
Sementara itu, seorang lagi pelumba muda negara yang beraksi di Eropah minggu ini, Qabil Irfan Azlan menamatkan Perlumbaan 2 Moto4 Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 di Valencia, Sepanyol di kedudukan ke-7.
Perlumbaan dimenangi Enzo Zaragoza diikuti Leonardo Casadei dan Eric Ruiz ketiga.
Aksi Pusingan 4 RBMRC 2024 dijadual berlangsung di Assen, Belanda hujung bulan ini manakala Pusingan 2 Moto4 ESBK 2024 dijadual berlangsung di Estoril, Portugal pada awal Julai.
