TEMPAT Ke-6 Untuk Hakim Danish Perlumbaan 1 Di Le Mans

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/11/20241 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli melepasi garisan penamat Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024, hari ini di kedudukan ke-6 pada aksi yang berlangsung di Le Mans, Perancis.

Memulakan perlumbaan di petak ke-3, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya mengekalkan dirinya di kelompok depan hampir keseluruhan saingan sebelum berdepan kesukaran di penghujung perlumbaan.

Berbaki dua pusingan, Hakim Danish yang mengakui sedikit bergelut keluar daripada selekoh berjaya dipintas pelumba di belakangnya yang membuatkannya tercirir daripada kelompok depan.

Tindakan itu menyaksikannya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6 yang masih memberikannya mata kejuaraan yang agak baik.

Kemenangan di Perancis menjadi milik pelumba Sepanyol, Maximo Quiles diikuti Rico Salmela dari Finland dengan Alvaro Carpe melengkapkan kedudukan podium.

Dan keputusan itu menyaksikan pelumba berusia 16 tahun itu meningkat daripada kedudukan ke-5 keseluruhan berbanding 6 sebelum perlumbaan.