TEMPAT Kedua Tapi Rasa Macam Menang - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/8/20242 min read

MARC Marquez mengetepikan segala 'cabaran' untuk merangkul tempat kedua perlumbaan MotoGP di Grand Prix Jerman 2024, semalam - kejayaan yang pada awalnya tidak disangka mampu diraih pelumba Gresini Ducati itu di Sachsenring.

Dan sekalipun tempat kedua menyaksikan rekod kemenangannya di Sachsenring lebur, tetapi ia masih dirasai pelumba kelahiran Sepanyol itu sebagai melintasi garisan penamat sebagai juara.

Secara teknikal, Marquez tidak pernah tewas perlumbaan GP Jerman sejak 2010 bermula dalam kelas 125 cc sehingga MotoGP pada 2021 (edisi 2020 dibatalkan susulan Covid-19).

Pada 2022, bekas pelumba Honda itu tidak berlumba susulan kecederaan diikuti deretan kemalangan yang dihadapinya tahun lalu yang memaksanya untuk menarik diri.

"Saya rasa seperti saya menang. Apa saya maksudkan adalah perasaannya," kata Marquez kepada MotoGP.com.

Sekalipun boleh dianggap 'pakar' di Sachsenring, Marquez tidak memperoleh perjalanan yang mudah pada saingan tahun ini yang dipalit dengan masalah teknikal serta kecederaan.

Ia turut memaksa pelumba berusia 30 tahun memulakan perlumbaan di petak ke-13 namun berjaya bangkit untuk menamatkan Perlumbaan Sprint di tangga ke-6 dan naib juara pada perlumbaan utama, berkongsi podium bersama adiknya Alex Marquez.

Dan ia kali pertama gandingan adik beradik menaiki podium dalam era MotoGP dengan kali terakhir sejarah sama dilakukan di kelas perdana adalah pada 1997 membabitkan pelumba Jepun, Nobuatsu dan Takuma Aoki.

"Saya amat gembira untuk berkongsi podium dengan adik saya. Ia adalah hari yang saya tidak akan lupakan dan pasti akan sukar untuk diulang pada masa depan," kata Marquez.

"Sejujur-jujurnya, pada musim ini, saya boleh mengatakan ia mungkin mustahil (untuk diulang).

"Mengapa? Kerana cukup sukar untuk saya berada di podium. Untuknya (Alex) juga. Jadi untuk mendapatkan Ahad yang sama apabila kami berdua berada di podium adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai.

"Dan terutama ketika perlumbaan kering, perlumbaan yang amat laju. Dia pelumba yang amat berbakat dan dia menunjukkannya hari ini.

"Saya harap ayah dan ibu saya menikmatinya kerana mungkin ini kali terakhir kami berkongsi podium. Kami akan menikmatinya seperti ia dibuat untuk kali terakhir!"

Marquez dalam pada itu mengakui kemalangan menimpa Jorge Martin sedikit memudahkan 'tugasnya' yang menyaksikan dia mungkin terpaksa bersaing dengan Alex bagi tempat terakhir di podium.

"Apabila saya mengejar adik saya, ada begit banyak persoalan berlegar," kata Marquez. "Saya berfikir, 'Apa yang boleh saya lakukan, menyerang? Mengambil risiko? Jika sesuatu berlaku, apa yang berlaku? Maksud saya, ia adalah podium yang bagus untuknya.

"Tetapi malang bagi Martin adalah perkara baik untuk kami, kerana ini adalah perlumbaan dan kami berdua berada di podium, yang membuatkan dua pusingan terakhir menjadi lebih mudah."