TEMPOH Terburuk Yamaha Di MotoGP Tapi Quartararo Masih Percaya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/7/20232 min read

SEKALIPUN terkesan dengan situasi dihadapi Yamaha dalam kempen MotoGP ketika ini, Fabio Quartararo menegaskan belum tiba masanya untuk mengebarkan bendera putih dan percaya dia masih mampu menjulang pengeluar Jepun itu kembali ke puncak.

Begitupun, juara dunia 2021 itu memberi amaran yang penambahbaikkan dari sudut teknikal diperlukan yang menyaksikan Yamaha perlu 'keluar' daripada zon kebiasaan bagi membawa Yamaha M1 setaraf jentera Ducati, Aprilia dan KTM.

Yamaha ketika ini sedang menuju ke tempoh terburuk semusim pasukan itu di kelas perdana selepas hanya mengumpul 1 podium dan 'bergasak' dengan Honda bagi mengelak kedudukan tercorot kategori pengeluar.

"Ia mengambil tempoh setengah musim atau lebih. Sehingga Silverstone, saya masih belum faham dan tak boleh menerima untuk bersaing dalam posisi seperti saya bersaing ketika ini," kata Quartararo memetik laporan Crash.net.

"Kami bersaing untuk merebut kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut dan kemudian kamu tertarung hanya untuk mendapatkan mata, atau hanya untuk layak ke Q2.

"Malah dalam tahun pertama saya, saya hanya berada di Q1 sekali. Saya tahu yang saya sudah banyak meningkat sebagai seorang pelumba sejak itu dan tahu potensi saya.

"Dari sudut mental saya, ia adalah gila bagaimana sukarnya perkara ini. Tetapi ketika ini, saya sudah menerima rasanya untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-7, 8, tetapi ia menyakitkan saya dari dalam."

Daripada juara dunia dan naib juara pada musim lepas, Quartararo ketika ini menghuni tangga ke-11 kedudukan pelumba dengan Yamaha masih belum merasai nikmat kemenangan selepas 11 pusingan tahun ini.

Mengakui dia mempunyai keraguan yang jurang diantara Yamaha dan jentera Eropah boleh dirapatkan pada musim depan, pelumba berusia 24 tahun itu menegaskan dia sudah melihat petanda yang positif.

"Setiap hari, malah ketika tidak berlumba, saya memberi tekanan kepada jurutera, malah ketika di rumah, saya menghantar mesej ke Ketua Projek, kepada semua orang," kata Quartararo.

Begitupun, Quartararo turut mengetahui yang perubahan tidak boleh berlaku dalam tempoh 'semalaman'.

"Kita tidak boleh mengubah orang daripada yang benar-benar konservatif menjadi gila. Tetapi sedang berusaha untuk bergerak ke bahagian tengah dan ia memberi cabaran yang besar kepada Yamaha dan saya secara peribadi.

"Saya menang bersama Yamaha, kami berada dalam situasi paling sukar untuk Yamaha dalam sejarah, mengikut saya dan saya mahu kembali ke puncak bersama Yamaha."