TERBAIK Di KTM 'KPI' Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/16/20241 min read

OBJEKTIF pelumba 'rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta adalah untuk bergelar sebagai pelumba terbaik dalam kem KTM sejurus kempen musim ini berakhir di Barcelona.

Juara dunia Moto2 itu tampil dengan prestasi menakjubkan setakat ini apabila meraih lima kedudukan podium pada perlumbaan GP dan empat podium Perlumbaan Sprint.

Beraksi bersama pasukan satelit KTM, GasGas Tech3, apa yang dilakukan oleh Acosta jelas lebih baik berbanding pelumba terbaik pasukan utama Red Bull KTM, Brad Binder yang hanya merangkul satu podium perlumbaan GP dan Sprint.

Tetapi menuju aksi terakhir di Barcelona, kedua-duanya hanya dipisahkan dengan tiga mata di kedudukan kelima dan keenam.

"Kami memperoleh sedikit rehat selepas pulang mengelilingi separuh Asia, jadi perasaannya cukup bagus dalam kembali ke kampung halaman," kata Acosta.

"Kami akan pergi ke Barcelona untuk pusingan terakhir, litar yang saya gemari dan di mana saya rasa selesa dan kompetitif.

"Objektif utama adalah untuk menamatkan musim ini sebagai pelumba terbaik dengan jentera Pierer Mobility, dan lebih baik jika saya dapat berada di podium pada perlumbaan di laman sendiri."

Ketika kali pertama MotoGP berlumba di Catalunya musim ini, Acosta menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ketiga dan memimpin perlumbaan sebelum terjatuh.

Binder dalam pada itu mengalami kemalangan ketika Perlumbaan Sprint dan kelapan pada perlumbaan utama.

Perlumbaan di Catalunya turut menjadi perlumbaan terakhir buat GasGas kerana jenama itu tidak akan lagi digunakan pada musim depan dan digantikan dengan Tech3 Red Bull KTM bersama pelumba serba baharu - Maverick Vinales dan Enea Bastianini.