TERBAIK Karier Di MotoGP - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/1/20241 min read

JAGUH Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia menyifatkan kemenangan ketiga berturut-turut di Assen yang diraihnya, semalam adalah prestasi terbaiknya di MotoGP setakat ini.

Pelumba kelahiran Itali itu mengharungi minggu sempurna di Grand Prix Belanda 2024 dan tampil garang sejak hari pembukaan pada Jumaat yang diteruskan merangkul petak utama, memecahkan rekod terpantas di Assen dan memenangi Perlumbaan Sprint pada Sabtu.

Kejayaan itu diteruskan semalam dengan menjuarai Perlumbaan MotoGP dengan penampilan cukup dominan - memimpin sejak awal perlumbaan sehingga penamat.

"Dari sudut keputusan saya fikir ini adalah yang terbaik di MotoGP," kata Bagnaia yang turut dikenali sebagai Pecco.

"Saya mendahului semua sesi, sesuatu yang tidak berlaku dengan mudah. Untuk menang dengan cara seperti ini menakjubkan.

"Saya melakukan perkara yang sama di Moto2 pada 2018. Apa yang saya mahu katakan adalah saya amat bangga dengan pasukan saya dan kami melakukan kerja yang menakjunkan sepanjang minggu.

"Jentera menakjubkan dan kami hanya perlu mengadaptasin sedikit untuk menjadikannya lebih baik ketika mengharungi selekoh laju kerana pada permulaan minggu, saya agak bergelut berbanding pelumba lain.

"Sejurus kami menyesuaikankannya segala-galanya sempurna. Menang hari ini (semalam) adalah menakjubkan," katanya.

Prestasi sempurna di Assen menyaksikan Bagnaia kini hanya dibezakan 10 mata dengan pendahulu kejuaraan dari Pramac Ducati, Jorge Martin yang menariknya turut bergelar naib juara pada kedua-dua perlumbaan.