TERHAD 500 Unit, Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024) Dipertontonkan

TERKINI

11/21/20231 min read

SEBAGAI cara untuk meraikan ulang tahun ke-30 penghasilan model ikonik 916, syarikat pengeluar motosikal Itali, Ducati menghasilkan model istimewa Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024).

Seperti motosikal edisi istimewa lain, ia dihasilkan dalam unit terhad - 500 unit seluruh dunia dan membuat kemunculannya di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023.

Berdasarkan sejarah, Ducati 916 dihasilkan 30 tahun lalu oleh pereka Itali, Massimo Tamburini dan menjadi 'laluan' kepada reka bentuk asas kepada jentera 'Sportbike' Ducati ketika ini.

Dan lebih istimewa untuk Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024), ia turut digandingkan dengan skema warna dan liveri jentera yang digunakan Carl Fogarty ketika memenangi Kejuaraan Superbike Dunia pada 1999.

Sebagai model aras tinggi, Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024) dipadankan dengan enjin Desmosedici Stradale 90° V4 bersesaran 1,103cc, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 215.5 Hp pada 13,000 rpm dan tork 123.6 Nm pada 9,500 rpm.

Tiba sebagai model edisi istimewa, Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024) dipadankan dengan segala 'jajan' dan kelengkapan eletronik terbaharu ditawarkan oleh Ducati.

Seperti anda boleh jangka juga, ia turut 'dicantikkan' dengan pelbagai komponen gentian karbon dan aluminium termasuk di bahagian rim gentian karbon yang lebih ringan.

Sistem brek menggunakan cakera kembar bersaiz 330 mm dengan kaliper Brembo Stylema 4 Piston dan cakera tunggal dengan kaliper Brembo MCS 19.21 (belakang).

Sistem suspensi pula dipadankan dengan jenis semi elektronik fork USD Öhlins NPX25/30 43 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal Öhlins TTX36 yang lengkap dengan ciri pelarasan penuh.

Dan sebagai motosikal yang boleh 'dilenjan' di trek, ia turut termasuk dalam pakej 'Standard' adalah sistem Ducati Data Analyzer+ selain 'kit trek' dan tidak memiliki pelana pembonceng.

Sebagai motosikal yang dihasilkan dengan unit terhad, ia turut 'dipenuhi' dengan logo dan sulaman istimewa selain pemiliknya akan memiliki sijil pengesahan ketulenan dan penutup motosikal eksklusif daripada Ducati.

Menurut Ducati, Ducati Panigale V4 SP2 30th Anniversario 916 (2024) yang memiliki berat kering 173 kg ini akan mula berada di pasaran pada Mac 2024.