TERIMA Kasih Bos Atas Peluang Beraksi Di Portugal - Hafizh Syahrin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20242 min read


PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah meminta maaf kepada bosnya di JDT Racing Team, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berikutan keputusan yang dibawa pulang dari perlumbaan WorldSBK di Portimao, Portugal, minggu lalu tidak seperti diharapkan.
Berlumba dengan tiket 'Wildcard' pada Pusingan 7 WSBK 2024 itu, Hafizh yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R malangnya berdepan beberapa isu pada hari pertama di Portugal membabitkan teknikal jenteranya.
Memulakan perlumbaan di petak ke-19, bekas pelumba MotoGP negara itu menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-18 pada Sabtu.
Dan selepas melengkapkan Perlumbaan Superpole di kedudukan ke-20, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-22 selepas terjatuh sekalipun pulang tanpa pungutan mata.
Mengakui keserasiannya dengan jentera cukup baik pada Perlumbaan 2, Hafizh berkata dia sudah cuba memberikan yang terbaik pada perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan angin kuat itu sebelum terjatuh di selekoh 5.
Sekalipun terjatuh, Hafizh bangkit dan kembali ke pit pasukan sebelum meneruskan perlumbaan.
"Saya berada dalam kumpulan yang bersaing untuk merebut mata kejuaraan (Perlumbaan 2) dan saya percaya saya boleh mendapatkan mata kerana pasukan melakukan perubahan terhadap jentera terutama di bahagian belakang," kata Hafizh.
"Ia sesuatu yang amat berbeza dan saya merasa baik dan itulah jentera yang saya boleh tunggang dengan baik dan percaya saya boleh mendapatkan mata.
"Tetapi ini adalah perlumbaan, dan perkara seperti ini (kemalangan) boleh berlaku," katanya.
Mengulas lanjut, Hafizh berkata pasukannya berdepan dengan isu teknikal pada hari pertama yang menyebabkannya tidak dapat melakukan banyak pusingan.
"Mungkin hanya 12 pusingan secara keseluruhan pada sesi latihan 1 dan 2," kata Hafizh. "Kami hanya mula memahami jentera pada hari kedua ketika sesi latihan 3 dan kelayakan dan Perlumbaan 1.
"Dan bermula daripada itu, kami cuba untuk memperbaiki jentera pada Perlumbaan 2. Ia amat berbeza tetapi pasukan membantu saya dan saya merasakan yang jentera saya adalah jentera yang lain pada Perlumbaan 2."
Hafizh dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama pasukannya, Ducati dan semua yang terbabit.
"Juga kepada bos saya, Tengku Mahkota Ismail yang memberikan saya peluang ini dan membenarkan saya untuk memahami dengan lebih baik mengenai jentera," kata Hafizh.
"Saya meminta maaf kerana saya keputusan yang saya dapat tidak sama seperti yang saya harapkan.
"Saya akan bekerja keras untuk aksi seterusnya dan fokus kini adalah perlumbaan selepas ini di Sepang (ARRC)," katanya.
