TERIMA Kasih Pecco - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/20/20241 min read

MARC Marquez menghargai tindakan Francesco Bagnaia yang cuba menenangkan tindakan segelintir penonton yang mengejeknya ketika sedang meraikan kemenangan di atas pentas Grand Prix San Marino 2024 sebagai juara.

Seperti diketahui, hubungan Marquez dengan peminat di Itali tidak begitu baik terutama susulan hubungan buruknya dengan legenda MotoGP negara itu, Valentino Rossi.

Dan sekalipun berlumba bersama pasukan Itali yang berpangkalan di Emilia Romagna, Gresini Ducati dan memakai sut lumba istimewa Fausto Gresini, juara dunia lapan kali itu tetap 'dihadiahkan' ejekan 'boo' di Misano.

"Ia sentiasa ada, tetapi jika kamu mengikuti atau menyokong seseorang pelumba, tidak perlu untuk mengejek 'boo' kepada pelumba yang lain," kata Marquez.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Pecco. Saya tidak melihatnya di podium tetapi mereka menunjukkan saya video dia cuba untuk menenangkan keadaan sedikit.

"Ini adalah perkara yang pelumba tidak dapat hentikan, bukan orang lain, bukan juga wartawan."

Bagnaia yang meraih tempat kedua pada perlumbaan berkenaan mengakui tindakan mengejek pelumba di atas podium sebagai 'kurang ajar'.

"Seperti Franky (Morbidelli) katakan dua atau tiga minggu lalu, 'pembenci akan kekal membenci'," kata Bagnaia. "Saya fikir ia jawapan yang baik.

"Ia benar-benar tindakan yang tidak menghormati orang lain kerana kami semua memberikan yang semaksimum mungkin setiap masa dan ia adalah sesuatu yang saya tidak faham.

"Saya membaca di beberapa temuramah yang ia hanya berlaku di Itali, tetapi ia tidak benar kerana ia turut berlaku di Barcelona apabila saya menang.

"Sejujurnya, apabila kamu memberikan yang semaksimum mungkin, cuba untymenjadi lebih baik dan baik dan meraih keputusan yang paling baik boleh dicapai. Dan ada orang mengejek kamu, saya fikir ia kurang ajar.

"Tetapi ia juga berlaku dalam semua sukan. Adalah lebih baik jika sukan kami menjadi lebih bersih. Tetapi bagi saya sukar untuk menghentikannya."