'TERIMA Kasih TMJ, Maaf Semua'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/9/20241 min read


Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah tiba di Buriram, Thailand bagi menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan tekad yang tinggi - memburu gelaran juara keseluruhan kelas elit ASB1000.
Hanya ketinggalan 5 mata daripada pendahulu kejuaraan sebelum saingan membuka tirainya, peluang itu memang tampak cerah buat bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara itu.
Tetapi segala-galanya menjadi sukar apabila Hafizh dilihat sekali lagi bergelut untuk mendapatkan pelarasan terbaik jenteranya - Ducati Panigale V4R dan diburukkan selepas mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan.
Terpaksa membulakan perlumbaan di petak ke-11 juga bukan sesuatu yang ideal untuk memburu kejuaraan dengan pelumba berusia 30 tahun itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-5.
Dan kemalangan yang berlaku pada Perlumbaan 2 menyaksikannya melepasi garisan penamat di kedudukan ke-10.
Keputusan itu menyaksikan Hafizh terpaksa menamatkan kempen pertamanya di kejuaraan berkenaan di kedudukan ketiga keseluruhan sebelum meminta maaf kepada penyokongnya kerana tidak berjaya mendapatkan gelaran keseluruhan yang diharapkan.
"Terima kasih kepada TMJ kerana memberikan saya peluang untuk berlumba dan tanpa baginda, saya mungkin tidak akan berlumba pada tahun ini," kata Hafizh.
"Tempat ketiga keseluruhan boleh dikatakan baik untuk musim pertama kali di kejuaraan ini. Memang saya mengharapkan gelaran juara tetapi kami perlu menerima yang pusingan terakhir ini amat sukar bagi saya.
"Minta maaf juga kepada semua peminat yang mengharapkan saya untuk menjulang gelaran."
Hafizh dalam pada itu berharap dia dan pasukannya akan datang dengan keadaan lebih baik pada musim depan.
"Kami pada musim ini perlu belajar semua perkara. Sekalipun saya ada pengalaman, tetapi saya masih perlu belajar dan menyesuaikan diri," kata Hafizh.
Pada perlumbaan penutup tirai semalam, pelumba Jepun, Kunii merangkul gelaran Asia dengan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar di kedudukan kedua.
