'TERKEJUT Marc Marquez Jadi Pilihan Ducati Lenovo'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/20/20241 min read

ENEA Bastianini akhirnya membuka mulut mengenai ketusannya memilih pasukan satelit KTM, Tech3 selain mendedahkan terkejut apabila mengetahui tempatnya di Ducati Lenovo musim depan disambar Marc Marquez.

Selepas sekian lama berteka-teki, Ducati Corse akhirnya membuat keputusan untuk menyenaraikan Marquez sebagai rakan sepasukan Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo musim depan.

Ia sekaligus mengetepikan pelumba yang dilihat sebagai pilihan utama, Jorge Martin yang beraksi bersama pasukan satelit rasmi Ducati, Pramac Racing.

"Saya tidak menjangkakannya, saya langsung tidak menggambarkan pilihan ini," kata Bastianini memetik laporan Sky Italia.

"Saya fikir ia lebih kepada perebutan dalaman di antara saya dan Martin."

Keputusan Ducati Corse membuatkan Martin memilih untuk meninggalkan Ducati dan menyertai satu lagi pengeluar Itali, Aprilia.

Mengakui turut 'didekati' oleh pasukan 'kilang' Aprilia, Bastianini begitupun membuat keputusan yang boleh dianggap aneh dengan menyertai KTM.

"Saya juga tertarik dengan tawaran Aprilia," kata Bastianini. "Tetapi pada akhirnya saya memilih untuk kembali kepada bekas Ketua Krew (Alberto Giribuola) saya bersama jentera yang masih kompetitif.

"Ya, kami tidak perlu untuk bermula daripada kosong. Ini kerana kami sudah mengenali satu sama lain dan saya fikir ia boleh memberikan nilai tambah."

Mengulas perpindahan daripada jentera terbaik di grid MotoGP ketika ini kepada KTM, Bastianini yang meraih tempat ketiga dalam carta kejuaraan dunia MotoGP 2022 menjelaskan:

"Saya akan bermula tanpa begitu banyak jangkaan, tetapi saya akan cuba bekerja keras pada ujian untuk berada di depan secepat yang mungkin," katanya.