TERLALU Banyak Ambil Risiko - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/18/20241 min read


MARC Marquez mengakui dia melakukan kesilapan apabila terjatuh ketika Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Austria 2024 dan lebih menyakitkan, di posisi kedua dan sedang menghambat pendahulu perlumbaan Francesco Bagnaia.
Selepas mengambil alih kedudukan kedua daripada Jorge Martin yang terpaksa mengambil penalti 'long lap', pelumba pasukan Gresini Ducati itu yang memulakan perlumbaan di petak ketiga tampak bersedia mengejar Pecco.
Ketinggalan 1.5 saat di belakang Bagnaia, Marquez berjaya merapatkan jurang kepada hanya 0.3 saat sebelum berdepan nasib malang terjatuh di selekoh tiga berbaki lima pusingan perlumbaan.
"Ia sukar untuk diterima, tetapi saya gembira dengan Sabtu kali ini," kata Marquez kepada MotoGP.com. "Prestasi ada. Saya tahu saya melakukan kesilapan.
"Saya menyatakannya di 'Parc ferme' (selepas kelayakan) yang saya setengah langkah di belakang pelumba di depan, dan pada Perlumbaan Sprint saya mengambil begitu banyak risiko.
"Saya malah berfikir yang saya mampu untuk mengejar Pecco pada pusingan-pusingan terakhir kerana saya merasa cukup bagus bersama jentera.
"Sauaa tahu pada beberapa pusingan terakhir di Sprint ia boleh menjadi kekuatan saya kerana dengan tayar yang sudah digunakan, saya merasa lebih baik berbanding yang baharu.
"Jadi ia berkaitan di mana saya cuba untuk menguruskan situasi. Kemudian apabila saya melakukan serangan, dan kelajuan saya baik, saya melakukan kesilapan pada selekoh tiga.
"Saya melakukan minggu yang lengkap, tetapi kami melakukan kesilapan pada masa yang paling teruk."
Susulan kesilapan itu, Marquez berkata dia akan cuba menggunakan pendekatan berbeza pada perlumbaan MotoGP dan sasarannya adalah cuba berada di podium.
"Saya melihat sepanjang minggu yang mereka setengah langkah di depan berbanding kami," kata Marquez. "Hari ini (semalam) saya cuba mendapatkan kembali setengah langkah itu tetapi saya mengambil risiko yang terlalu besar.
"Jadi, sasarannya adalah menang tempat ketiga (perlumbaan GP) di podium dan menamatkan perlumbaan."
