TERLALU Berisiko - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/4/20241 min read


JORGE Martin percaya dia mampu memberikan 'pertarungan' lebih sengit kepada Francesco Bagnaia pada perlumbaan MotoGP di Grand Prix Malaysia.
Begitupun pelumba Pramac Ducati yang sedang memimpin perlumbaan itu menjelaskan adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk mengambil risiko sebesar itu.
Martin berpeluang untuk menjulang gelaran dunia MotoGP lebih awal jika meraih kemenangan dan Bagnaia meraih tempat ketiga.
Tetapi sebaliknya berlaku apabila Bagnaia dari Ducati Lenovo tampil dengan strategi cukup agresif dan berjaya memenangi perlumbaan ketika Martin terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Menuju pusingan terakhir yang masih belum ditentukan destinasinya, Martin masih memiliki kelebihan cukup besar 24 mata di depan Bagnaia dan bermakna hanya perlu meningkatkan jurang itu kepada dua mata jika mahu bergelar juara dunia.
"Dari sudut saya mungkin saya perlu lebih tenang, tetapi saya rasa saya mampu untuk bertarung dengannya (Bagnaia)," kata Martin.
"Jadi, saya mencubanya, tetapi pada satu tahap saya berfikir 'Ok, terlalu banyak risiko, jadi saya menunggu di belakang'.
"Tetapi masalahnya, sejurus saya berada di belakang segalanya mula menjadi lebih buruk.
"Marc (Marquez) juga agak hampir, jadi saya terpaksa memberi tekanan. Sudah tentu, apabila Marc jatuh ia satu kelegaan besar kepada saya kerana saya mempunyai sedikit ruang dengan Enea (Bastianini) jadi saya cuba untuk terus fokus dengan kepantasan yang baik."
"Pada satu ketika saya cuba mengejar Pecco tetapi apabila saya melakukan kesilapan di selekoh sembilan jadi saya berkata 'Ok, Jorge, ia sudah cukup'.
"Ia juga amat meletihkan. Saya mula merasanya ketika tiga pusingan terakhir. Jadi saya hanya cuba untuk menghabiskan perlumbaan. Bagus, mata kejuaraan yang penting."
