MARC Marquez menjelaskan dia terpaksa membuang pelapik plastik visor helmetnya di garisan permulaan - situasi yang mengakibatkannya berdepan aksi cemas di awal perlumbaan Grand Prix Australia 2024 - berikutan ada serangga besar hinggap di helmetnya.
Pelumba pasukan Gresini Ducati itu berdepan kesukaran di garisan permulaan berikutan terjadinya 'wheelspin'.
Situasi itu memaksa juara dunia lapan kali itu daripada bermula di petak ke-2 tergelincir ke kedudukan ke-13 menuju selekoh pertama.
Begitupun, pelumba kelahiran itu pantas meraih semula kedudukannya untuk memburu kedudukan pendahulu, Jorge Martin sebelum berjaya memintas pelumba Pramac Ducati itu ketika berbaki empat pusingan dan bergelar juara.
Ketika ditemuramah, Marquez menjelaskan dia kebiasaan tidak menanggalkan pelapik visor itu ketika di grid kerana ia merbahaya.
Tetapi ada sesuatu yang 'besar' melekat di visornya yang mengakibatkan kejadian tidak diingini itu berlaku.
"Ada serangga yang besar! Cukup besar. Ia berada pada cermin visor," kata Marquez kepada TNT Sports.
"Saya tidak dapat melihat, dan saya berkemungkinan tiba di selekoh pertama tanpa dapat melihat. Sentiasa ada yang berlaku!
"Saya tidak pernah menanggalkan pelapik itu di permulaan kerana ia merbahaya. Tetapi kali ini, ketika saya mengaktifkan'holeshot' pada jentera saya, sesuatu yang amat besar (ada di depan mata saya).
"Saya tidak berpeluang (berfikir). Saya terus menanggalkannya. Malangnya ia jatuh di bawah tayar saya. Saya melihatnya, saya cuba untuk mengalihkannya tetapi ia mustahil.
"Apabila saya melepaskan klac ia mula berpusing. Saya tidak tahu di mana saya berada pada selekoh pertama tetapi saya memintas ramai pelumba.
"Saya fikir adalah mustahil untuk mengejar Martin, tetapi pada pusingan kelima atau keenam saya lebih tenang. Saya cuba menyelamatkan tayar untuk cuba melakukan serangan terakhir."
Sekalipun tiada sebarang peraturan yang menghalang pelumba daripada membuang pelapik visor itu di grid, begitupun perkara berkenaan sudah dipersetujui semua pelumba.
"Pada akhirnya ia adalah salah saya, kerana tiada peraturan tetapi di kalangan pelumba kami berbincang untuk mengelak daripada membuang pelapik itu di grid," kata Marquez. "Tetapi kali ini saya tiada pilihan."
Salah satu contoh insiden membabitkan pelapik visor helmat adalah di Misano pada 2020 apabila jentera Ducati milik Jack Milller menyedut pelapik visor Fabio Quartararo yang mengakibatkan pelumba Australia itu menamatkan perlumbaan lebih awal.