TERUJA Nak Uji Ducati GP24 Di Sepang - Alex Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/20/20241 min read


ALEX Marquez yang menunggang jentera Ducati GP24 buat pertama kali ketika ujian MotoGP 2025 di Barcelona dan mencatatkan masa terpantas sesi mengakui apa yang dibuatnya bukan sesuatu yang mengejutkan.
Pelumba Gresini Ducati itu menamatkan sesi ujian dengan melakukan catatan 1 minit 38.803 saat (s), 0.396s lebih pantas berbanding pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo dan 0.595s daripada Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo.
Abangnya yang juga rakan sepasukan baharu Bagnaia dan kini berwarna 'Merah', Marc Marquez melakukan catatan keempat terpantas dengan kedua-duanya menguji jentera Ducati GP24 dan GP25.
"Normal (pantas) apabila mereka memberikan kamu jentera yang sudah pun 'siap' kerana kamu tidak perlu mendapatkan informasi daripada pengeluar dan hanya fokus kepada pelarasan yang kecil.
"Jadi normal yang kami laju kerana kami tidak perlu melakukan begitu banyak perkara," kata Alex memetik laporan Crash.net.
Alex berkata, kejayaan Pecco dan juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin bukan bersandarkan kepada jentera semata-mata tetapi kemampuan yang mereka miliki.
"Ini adalah ujian selama sehari di litar yang saya gemari, jadi saya tidak mahu berkata yang mereka (Pecco, Martin) menang kerana ini (GP24). Pecco dan Jorge melakukan kerja yang menakjubkan sepanjang musim.
"Mereka laju dalam semua keadaan. Jadi terlalu awal untuk bercakap lebih banyak, tetapi ia peningkatan yang tinggi berbanding yang lama (GP23).
"Saya mahu mencubanya di litar yang memberikan kesukaran kepada saya, dari sudut gaya tunggangan. Selepas ini kami akan ke Malaysia, yang juga amat bagus untuk saya. Dan Thailand di mana saya juga laju.
"Jadi kita perlu menunggu dan melihat sejauh mana pengeluar lain bertambah baik, bagaimana GP25 bertambah baik, dan daripada itu, kita akan mengetahui di mana kedudukan kami dengan lebih baik."
