TERUS Popular, Jualan Royal Enfield Hunter 350 Dah Cecah 200k Unit Seluruh Dunia!

TULAR

8/15/20231 min read

KURANG 12 bulan selepas pelancaran globalnya, sudah lebih 200,000 unit motosikal bergaya 'modern retro', Royal Enfield Hunter 350 dijual di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Sebagai info, Royal Enfield Hunter 350 membuat debut global pada Ogos tahun lalu dan menariknya, bukan dilakukan di India, namun di negara jiran Thailand.

Motosikal berkenaan kemudian membuat penampilan rasminya di pasaran tempatan pada Mac tahun ini dan menurut Royal Enfield Malaysia, penerimaan terhadapnya boleh dikatakan cukup baik.

Cukup sukses di negara 'kelahirannya' India, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Enfiled, B Govindarajan berkata: "Hunter 350 tidak dapat dinafikan adalah motosikal paling popular dalam segmen saiz pertengahan sejak tahun lalu.

"Kami amat berbangga kerana kurang daripada setahun sejak pelancarannya, Hunter sudah mengumpulkan sejumlah 200 ribu penunggang seluruh dunia. Bukan saja di India, Hunter 350 turut meningkatkan popularitu di pasaran dunia juga.

"Kami berterima kasih kepada komuniti Hunter kerana menjadikan 'Hunter 350' sebagai kejayaan yang besar dan membantu kami mencapai tanda aras ini dalam tempoh yang amat singkat," katanya.

Tampil dengan rekaan yang memikat dan 'segar', Royal Enfield Hunter 350 sudah merangkul lebih daripada 20 anugerah antarabangsa termasuk anugerah Motosikal Terbaik India 2023 dan Motosikal Moden Klasik Ringan Terbaik Thailand.

Mengulas trenkuasa, Royal Enfield Hunter 350 (2023) dipadankan dengan enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Angka kuasa yang dijana adalah pada 20.2 Hp pada 6,100 rpm dan tork 27 Nm pada 4,000 rpm.

Di pasaran Malaysia, Royal Enfield Hunter 350 (2023) diperkenalkan dalam dua varian dan dijual pada harga mengujakan bermula dari RM 22,000 (asas).