THAILAND Jadi Gelanggang Buka Tirai MotoGP 2025?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/17/20241 min read

THAILAND dikhabarkan bakal menggantikan Qatar sebagai gelanggang pembuka tirai perlumbaan MotoGP musim 2025 yang juga destinasi terakhir ujian pra-musim, menurut laporan GPOne.

Berdasarkan laporan berkenaan, keputusan itu diambil MotoGP bagi memecahkan gandingan 'Triple header' membabitkan Misano, Indonesia dan Jepun selain Australia, Thailand dan Malaysia.

Seperti diketahui mengikut jadual, keenam-enam perlumbaan itu adalah baki enam perlumbaan terakhir sebelum saingan MotoGP menutup tirainya di Valencia, Sepanyol.

Perkhabaran itu tambah menarik ketika Thailand ketika ini sedang menantikan sama ada pelumbanya, Somkiat Chantra akan dinaikkan pangkat beraksi di MotoGP bersama LCR Honda musim depan.

Secara tradisinya, Litar Lusail, Qatar menjadi venue kepada perlumbaan pembuka tirai MotoGP.

Satu-satunya tempoh Qatar melepaskan hak berkenaan adalah pada tahun lalu susulan penambahbaikkan yang dijalankan di litar itu.

Dan timbul juga spekulasi yang litar itu akan sekali lagi menjalani proses renovasi yang menyaksikan terpaksa melepaskan hak berkenaan.

GPOne juga menjangkakan yang Qatar akan mengisi tempat sebagai pusingan ke-3 MotoGP musim depan selepas Buriram dan India.

Tetapi menariknya, Malaysia akan meneruskan 'tugas' sebagai destinasi ujian pra-musim pertama kejuaraan berkenaan.