THAILAND Rasmi Jadi Venue Buka Tirai MotoGP 2025, 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20241 min read

GRAND Prix (GP) Thailand, mengikuti laporan sebelum ini rasmi dinamakan sebagai gelanggang pembuka tirai MotoGP selama dua musim bermula 2025 menggantikan GP Qatar.

Perkembangan itu diumumkan oleh pemegang hak penganjuran komersial MotoGP, Dorna Sports dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, Qatar belum memberi alasan mengapa mereka melepaskan slot berkenaan kepada Thailand yang mula menganjurkan perlumbaan MotoGP di Buriram sejak 2018.

Dan selain daripada pusingan pembuka musim, Buriram turut dikatakan akan menjadi destinasi ujian rasmi kedua dan terakhir pra-musim menggantikan Lusail.

"Kami amat teruja untuk mengumumkan yang perlumbaan pembuka musim 2025 dan 2026 akan dianjurkan di Grand Prix Thailand di Buriram, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta.

"Asia Tenggara adalah salah satu daripada pasaran penting kami, kedua-duanya untuk sukan ini dan juga pengeluar-pengeluar dan juga rakan kongsi. Thailand memainkan peranan yang penting dari sudut itu, dan semangatnya dapat dilihat dengan jelas dengan kehadiran penonton yang tinggi di Buriram setiap tahun.

"Kami tahu yang mereka akan mencipta suasana yang menakjubkan bagi perlumbaan pertama dalam kalendar (MotoGP)," katanya.

Ketika ini, peminat MotoGP di Thailand sedang menantikan sama ada pelumba mereka, Somkiat Chantra akan dinaikkan pangkat beraksi di kelas MotoGP musim depan bersama LCR Honda.

Sementara itu, perkembangan di Thailand turut dijangka tidak mengubah Malaysia sebagai destinasi ujian 'Shakedown' dan ujian pra-musim pertama.

Setakat ini, kalendar penuh untuk kempen MotoGP musim 2025 masih belum dikeluarkan oleh Dorna tetapi menurut jangkaan, GP Thailand 2025 akan berlangsung pada awal Mac diikuti GP India.