TIADA Caj Tersembunyi, Honda Impian X Perkenal Pakej Merdeka 2023, Honda RS-X RM11.6k OTR!
7/6/20231 min read
Sebagai cara menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan, Boon Siew Honda (BSH) menerusi pengedarnya yang berstatus Honda Impian X, hari ini memperkenalkan Pakej Merdeka 2023 yang menyaksikan Honda RS-X (2023) dijual pada harga tetap tanpa caj tersembunyi.
Menerusi pakej berkenaan, Honda RS-X (2023) dengan skema warna Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue dijual pada harga RM11,600 Atas Jalan (OTR) termasuk insuran, pendaftaran dan sebagainya. Untuk Honda RS-X (2023) dengan skema warna Trico Edition pula, ia dijual pada harga RM11,650 (OTR).
Begitupun, harga berkenaan adalah untuk jualan tunai sahaja.
Untuk jualan dengan khidmat pembiayaan, bayaran 'muka' atau pendahuluan yang ditetapkan adalah RM1,165 untuk Honda RS-X (2023) Trico Edition dengan tiga pakej ansuran 36 bulan (RM379), 48 bulan (RM306) dan 60 bulan (RM262).
Manakala untuk Honda RS-X (2023) Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue, bayaran pendahuluan adalah RM1,160 juga dengan tiga pakej ansuran 36 bulan (RM377), 48 bulan (RM305) dan 60 bulan (RM261).
Syarikat kredit yang menyediakan pakej pembiayaan itu adalah Chailease dan Parkson Credit. Dan ia adalah pakej untuk semenanjung Malaysia sahaja.
Sebagai info, ketika memperkenalkan Honda RS-X (2023) pada penghujung tahun lalu, harga yang diumumkan oleh BSH untuk model berkenaan adalah seperti berikut:
- Lemon Ice Yellow, Candy Caribbean Blue - RM 9,698
- Trico Edition - RM 9,748
Tetapi harga yang dinyatakan itu adalah asas tanpa yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Seperti diketahui, harga yang disyorkan oleh BSH ketika pelancaran sering dimanipulasi oleh pengedar-pengedar yang tidak bertanggungjawab menyaksikan harganya meningkat berkali ganda.
Dan apa yang lebih menarik, BSH turut memberi peringatan kepada pembeli jika ada pengedar Impian X tak menjual motosikal itu tanpa harga pakej sepanjang tempoh promoso, mereka boleh membuat aduan.
Pakej Merdeka 2023 Honda Impian X ini membabitkan Honda RS-X bermula hari ini sehingga 3 September depan.