ENEA Bastianini mengakui insiden kontroversi membabitkannya dengan Jorge Martin di pusingan terakhir perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Misano, Itali semalam sebagai satu-satunya pilihan untuk meraih kemenangan.
Kejayaan Bastianini menyaksikan kemenangan ke-100 buat Ducati GP menjadi milik pelumba pasukan 'kilang' dan bukannya pelumba pasukan satelit, Martin yang berlumba bersama Pramac Ducati.
Lebih daripada itu, kemenangan Bastianini juga mengesahkan kejuaraan dunia kategori pengeluar buat Ducati bagi musim ini yang turut dilakukan di Misano yang turut dianggap sebagai laman sendiri pasukan itu.
Begitupun, kemenangan itu dipalit kontroversi apabila pelumba Itali itu melakukan tindakan yang dianggap agresif untuk memintas Martin yang memaksa pelumba Sepanyol itu terkeluar daripada garisan perlumbaan untuk mengelak daripada terjatuh.
Apa yang menarik atau mungkin sedikit pelik, steward FIM mengesahkan tiada tindakan yang dikenakan kepada mana-mana pelumba atas insiden berkenaan sekalipun Martin merasa sebaliknya.
"Amat-amat sukar untuk melakukan pintasan ini, tetapi apabila kamu mempunyai peluang untuk memenangi perlumbaan kamu perlu melakukannya," kata Bastianini.
"Kamu perlu masuk. Ya, ia agak berada di hadnya tetapi pada akhirnya ia adalah satu-satunya pilihan kerana tanpa kepungkinan ini adalah mustahil untuk saya kerana (Martin) pada keseluruhan litar ini amat bagus dan ia adalah satu-satunya kemungkinan untuk saya."
Mengulas lanjut, Bastianini atau turut dikenali The Beast mengakui apa yang dilakukannya di selekoh 4 itu adalah satu-satunya peluang untuk dia memotong Martin.
"Mungkin itu satu-satunya peluang untuk saya, kerana pada sektor ketiga sehingga ke selekoh 10 dia (Martin) amat kuat," kata Bastianini.
"Saya tidak tahu kenapa tetapi pada akhirnya di laluan lurus saya sentiasa 0.2 saat, 0.3 saat ketinggalan. Itu adalah satu-satunya peluang untuk saya cuba memenangi perlumbaan."
Kemenangan turut menyaksikan Bastianini merampas kembali kedudukan ketiga carta pelumba daripada Marc Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
"Ia cukup beremosi mengenai kemenangan ke-100 GP untuk Ducati, juga kerana saya memotong di depan kelab peminat saya yang menyalakan suar asap merah jambu. Ia cukup baik. Ia adalah hari yang cantik untuk saya," katanya.